GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan rombakan melibatkan pertukaran pegawai-pegawai kanan di kontinjen negeri dan ibu pejabat polis Bukit Aman berkuat kuasa 12 April.

Senarai pertukaran terbaharu yang dikeluarkan Bukit Aman hari ini membabitkan 71 pegawai kanan, antaranya Ketua Polis Kuala Lumpur, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah jabatan itu, manakala Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Selangor dengan memangku pangkat CP.

Saiful Azly bakal diganti oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Azmi Abu Kassim yang dilantik Ketua Polis Kuala Lumpur baharu dengan memangku pangkat CP.

Supt Komunikasi Korporat PDRM Superintendan A Skandaguru dalam kenyataan berkata, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal pula dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Beliau menggantikan Datuk Fadzil Ahmad yang ditukarkan ke JPJKK Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa.

"Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya pula digantikan oleh Supt Unit Siasatan dan Pendakwaan Zon Tengah Bahagian Kawalan Kredit Komuniti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Putrajaya Superintendan Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dengan memangku pangkat Asisten Komisioner," katanya.

Turut terlibat dalam pertukaran itu ialah Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sharul Lalli Masduki yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor manakala tempatnya digantikan Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah pula dilantik sebagai Ketua JSJN Selangor, menggantikan Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat yang ditukarkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Terancang JSJ Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah (D14) serta memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 10:40 AM