TANGKAP layar video 'jenaka' Jocelyn di Tiktok.
TANGKAP layar video 'jenaka' Jocelyn di Tiktok.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tindakan pelawak Singapura, Jocelyn Chia menjadikan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai bahan jenakanya disifatkan keji dan menjijikkan oleh isteri kepada seorang daripada mangsa.

Isteri kepada pramugara pesawat MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan iaitu Intan Maizura Othaman menyifatkan tindakan pelawak solo berkenaan juga tidak peka terhadap sensitiviti kehilangan kapal terbang berkenaan.

Menurutnya, Jocelyn Chia mengetahui bahawa lawak yang digunakan menyinggung perasaan orang ramai namun tetap mahu menjadikannya sebagai jenaka.

"Lihatlah dia (Jocelyn) tertawa dengan gurauannya sendiri. Ia bukan lawak. Seteruk mana pun kamu, tetapi jangan buat jenaka dengan menyebut MH370. Anak saya Muhammad masih bersedih sehingga hari ini disebabkan kehilangan ayahnya.

"Tahukah kamu berapa ramai lagi ibu yang masih menangis hingga sekarang. Kamu memang tidak tahu sebab tiada empati dan perasaan.

"Atau mungkin anda juga tidak mempunyai keluarga. Jika kamu ada keluarga pun saya pasti mereka malu dengan tindakan bodoh kamu," katanya menerusi hantaran video di TikTok dan tulisan di Facebook.

Katanya, secara peribadi beliau melihat jenaka Jocelyn sebagai tangisan yang mahukan pertolongan daripada manusia terdesak dan keji.

Pada masa sama, Intan Maizura turut berkata, orang ramai akan mendapat lawak hambar apabila menghadiri sesuatu acara dengan menampilkan seseorang yang tidak mengetahui cara sebenar berjenaka.

Menurutnya, tiada keperluan menggunakan isu kontroversi semata-mata mahu meraih populariti dengan begitu cepat dan normalisasi menggunakan topik mengguris perlulah dihentikan.

"Ingatlah bahawa perasaan rendah diri dan tidak yakin kepada diri sendiri kadangkala boleh mengubah perilaku seseorang.

"Ia boleh membuatkan seseorang membenci diri sendiri dan mencerminkan diri sebagai individu yang tidak berhati perut atau mungkin tiada otak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 10:33 AM