Redzuan Muharam


Parit: "Impian terbesar saya daripada sekolah adalah untuk jaga along sampai bila-bila walaupun jika ditakdirkan berkahwin satu hari nanti," kata juruteknik di sebuah kilang, Muhamad Syamir Mohd Zulkepli.

Muhamad Syamir, 26, tidak pernah menganggap abang sulungnya, Mohd Hafizzudin Zulkepli, 35, iaitu Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal sebagai beban.

Sebaliknya, pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal itu bersyukur kerana dikurniakan abang kandung yang istimewa kerana memberi peluang untuknya berbakti kepada 'tetamu' dari syurga.

Baru-baru ini, Muhamad Syamir mendapat perhatian di TikTok sebelum ini selepas memuat naik videonya menyanyi lagu raya bagi menghiburkan abangnya, Mohd Hafizzudin yang terbaring di lantai.

Menerusi kapsyen pada video itu, Muhamad Syamir menyatakan hasratnya menjaga abangnya yang menjadi penguat semangat selepas ibu, Siti Hatijah Yusof, 54, dan bapa, Mohd Zulkepli Harun, 60.

Berkongsi kisahnya, Muhamad Syamir berkata, abangnya berstatus OKU sejak lahir dan kini di bawah jagaan ibu bapanya di kampung sementara dia tinggal menyewa di luar.

Bagaimanapun, Muhamad Syamir tidak akan ketinggalan pulang ke kampung jika ada kelapangan selepas waktu kerja atau pada hari cuti untuk membantu ibu bapanya mengurus dan menjaga abangnya.

"Kebanyakan masa memang emak dan ayah yang bantu uruskan abang. Jika saya atau adik beradik lain ada, kami akan bantu dan itu sudah semestinya.

"Tiada masalah memandangkan sejak sekolah lagi sudah ambil tanggungjawab jaga abang bukan saja beri makan, minum malah angkat untuk mandikannya.

"Cuma, saya tak berseorangan jika nak mandikannya kerana akan dibantu emak, ayah atau adik," katanya ketika dihubungi.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu mengakui bukan mudah untuk menjaga dan menguruskan abangnya yang tidak boleh berdikari.

"Agak susah untuk bawa abang mandi atau beri makan dan minum kerana keadaan fizikalnya yang begitu.

"Jadi, itu cabaran utamanya dan menuntut 100 peratus kesabaran tetapi mengenangkan dia insan istimewa, kami sekeluarga cuba sedaya upaya membantunya.

"Saya tak tahu nak gambarkan macam mana kepuasannya itu tetapi seronok apabila dapat bantu uruskan abang walaupun jujurnya memang penat.

"Paling seronok sekali apabila saya ada masalah, saya tatap saja muka abang, hati terus berasa tenang," katanya yang mengakui hubungannya lebih akrab dengan abangnya selepas sering meluangkan masa bersama.

Ditanya perihal masa depan, Muhamad Syamir akui satu hari nanti dia mungkin akan berumah tangga dan mempunyai tanggungjawab lain yang lebih besar.

"Jika satu hari nanti saya bertemu wanita pilihan, saya akan beritahu mengenai abang.

"Semoga Allah jodohkan saya dengan wanita yang memahami dan dapat terima abang. Ia kerana kalau boleh, saya mahu jaga abang selagi terdaya supaya dia terus sihat, di bawah jagaan yang baik dan doa abang dipanjangkan umur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 9:43 PM
MUHAMMAD Syamir bersama Mohd Hafizzudin dan keluarganya. FOTO Ihsan Muhamad Syamir Mohd Zulkepli
MUHAMMAD Syamir bersama Mohd Hafizzudin dan keluarganya. FOTO Ihsan Muhamad Syamir Mohd Zulkepli