GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpandangan sekarang bukan masa sesuai untuk menyemak semula kadar gaji minimum.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ia kerana semakan

mendapati kadar gaji minimum terbaru terlalu tinggi iaitu di antara 25 hingga 36 peratus berbanding kadar sebelumnya.

Menurut beliau, ada majikan yang masih belum mampu untuk melaksanakan kadar RM 1,500 terutama syarikat menjalankan perkhidmatan yang disumber luarkan oleh kerajaan dan agensi berkaitan.

Ia kerana katanya, syarikat terbabit masih membayar kakitanga mengikut kadar gaji minima terdahulu iatu RM 1,100 hingga RM1,200.

"MEF berharap sebarang polisi berkaitan gaji dibincangkan terlebih dahulu dengan pemegang taruh.

"Langkah itu bagi memastikan isu berkaitan dengan keupayaan kewangan syarikat yang perlu menanggung kos akibat kenaikan gaji dapat ditangani dengan lebih baik.

"Peningkatan kos gaji yang tidak mampu ditanggung majikan akan memakasa majikan untuk mengurangkan pekerja dan dalam keadaan yang lebih parah majikan akan menutup perniagaan mereka," katanya kepada Harian Metro dalam satu kenyataan.

Berhubung Model Gaji Progresif (PWM) pula, Syed Hussain berkata, kerajaan hendaklah berbincang dan berunding dengan semua pihak berkepentingan kerana ia (PWM) akan membentuk masa depan ekonomi negara.

Syed Hussain turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa tiga terdiri daripada kesatuan sekerja, majikan dan kerajaan untuk menggubal serta melaksanakan PMW.

Selain itu, Syed Hussain mengesyorkan kerajaan untuk memetakan laluan kerjaya yang jelas untuk gaji pekerja dikaitkan dengan latihan dan peningkatan kemahiran, kemahiran semula dan peningkatan dalam produktiviti juga piawaian.

"Pada masa yang sama kerajaan perlu menyediakan garis panduan jelas bagaimana produktiviti yang lebih tinggi meningkatkan keuntungan untuk perniagaan.

"Pengguna juga hendaklah menikmati piawaian dan kualiti lebih baik pada produk serta perkhidmatan pada harga berpatutan. PMW hendaklah digunakan sebagai satu cara untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

"Penambahbaikan dalam produktiviti dan daya saing akan memberi manfaat kepada rakyat dan pekerja. Pekerja pula dapat menikmati gaji yang lebih tinggi dan laluan kerjaya yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 6:44 PM