Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: "Kami pada awalnya lari selepas terdengar bunyi misteri dari beg plastik di hadapan masjid dan tidak menjangka ia sebenarnya bayi perempuan yang ditinggalkan," kata remaja lelaki, Mohd Iqram Haqeem Abdullah, 14.

Mohd Iqram berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi Sabtu lalu ketika dia bersama tiga rakan sekolah yang juga jiran dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersahur di sebuah restoran berhampiran.

Menurutnya, mereka yang mahu singgah di masjid untuk ke tandas terkejut mendengar bunyi misteri di tepi pagar Masjid An-Nur Taman Cendana serta bertindak menahan sebuah van kilang bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, pemandu van kemudian memeriksa beg dan mendapati seorang bayi perempuan berbalut tuala berwarna kuning.

"Pemandu van bertindak menghubungi talian kecemasan sebelum menyerahkan bayi kepada seorang petugas di masjid.

"Kami bersyukur kerana tidak meninggalkan bayi itu walaupun ada awalnya bimbang mendengar bunyi misteri itu.

"Selepas pulang ke rumah kami berkongsi pengalaman berkenaan bersama ahli keluarga dan mereka bertindak memuji tindakan kami menyelamatkan bayi terutama pada Ramadan ini," katanya ketika ditemui.

BAYI perempuan ditinggalkan di hadapan pintu pagar Masjid An-Nur Taman Cendana, Pasir Gudang diselamatkan pelajar sekolah Sabtu lalu. FOTO Mary Victoria Dass
BAYI perempuan ditinggalkan di hadapan pintu pagar Masjid An-Nur Taman Cendana, Pasir Gudang diselamatkan pelajar sekolah Sabtu lalu. FOTO Mary Victoria Dass

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Cendana, Shamsul Bahrin Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku kali pertama dalam sejarah kewujudan kawasan perumahan itu kira-kira 20 tahun.

Menurutnya, kemungkinan pelaku beranggapan kawasan itu adalah tempat kunjungan kariah masjid yang mungkin dapat menyelamatkan bayi terbabit.

"Bayi itu bernasib baik kerana diselamatkan sekumpulan pelajar sekolah, jika dia terus berada di situ mungkin berlaku kejadian tidak diingini berikutan lokasi itu kawasan anjing liar berkeliaran.

"Bayi itu istimewa, kami anggap sebagai anak angkat sukarelawan dan komuniti kawasan perumahan ini, kami juga tidak sabar bagi mengetahui perkembangannya serta mendoakannya," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Keadaan bayi sihat dan normal serta kes disiasat mengikut Seksyen 317KK (buang bayi)," katanya ketika dihubungi.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi itu dipercayai berusia tiga hari ketika ditemui.

"Perintah Jagaan Sementara di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Johor Bahru akan dipohon bagi membolehkan pelindung kanak-kanak menguruskan dokumen berkaitan pengenalan diri kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 12:59 PM