Ayer Keroh: "Saya tidak sedih untuk meninggalkan jawatan ini (Ketua Menteri), saya tidak sedih untuk meninggalkan kerusi yang empuk di tingkat empat Seri Negeri ini, tetapi saya sedih untuk meninggalkan semua kakitangan saya," kata Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu itu yang melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka berkuat kuasa esok dilihat menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ringkas pada hari terakhirnya memasuki pejabat, hari ini.
Video Sulaiman yang penuh emosi ketika majlis ringkas itu turut tular di media sosial.
Menurut Sulaiman, beliau sedih untuk meninggalkan semua kakitangannya yang baik, cemerlang dalam perkhidmatan dan sentiasa jujur serta amanah ketika menjalankan tugas.
"Saya tidak mampu lagi memperoleh staf seperti ini dan sudah pasti jasa serta budi baik semua akan saya kenang selagi hayat dikandung badan.
"Saya sangat berterima kasih kepada semua kakitangan pejabat ini yang banyak membantu saya," katanya
Beliau meminta semua kakitangan pejabatnya di Seri Negeri supaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada penggantinya kelak.
"Jangan ada sedikit pun kekurangan khidmat untuk Ketua Menteri yang baharu nanti. Sama-sama kita berdoa semoga Allah limpahkan rahmat dan keberkatan kepada kita semua," katanya.
Sulaiman, 58, mengangkat sumpah jawatan kali pertama sebagai Ketua Menteri pada Mac 2020 selepas Barisan Nasional (BN) bersama rakan sekutu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).
Beliau kemudiannya dilantik semula sebagai Ketua Menteri selepas BN menang besar ada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November 2021.
Kelmarin, beliau mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Ke-12 atas sebab faktor kesihatan.