Redzuan Muharam

Nibong Tebal: "Kenapa abang tak boleh jalan macam orang lain? Kenapa tak boleh lari dan jalan perlahan dengan tangan?"

Demikian soalan kerap diajukan Umar Hafiy Harith Amir Nor Hafiz, 7, kepada ibu, Nurul Fathiah Noordin, 33, dan bapanya Amir Nor Hafizi Nordin, 28, berikutan keadaannya yang dilahirkan dengan kaki pendek tidak seperti kanak-kanak lain.

Pertanyaan Umar membuatkan Nurul Fathiah sebak tetapi terpaksa berpura-pura tenang kerana enggan membuatkan anak sulungnya itu bersedih.

"Memang sedih setiap kali Umar tanya atau cakap macam itu dan selalunya saya akan menangis di sisi suami tetapi berlagak selamba di hadapan anak.

"Saya tak nak tunjuk sedih atau menangis di hadapannya kerana mahu dia terus kuat.

"Pernah juga Umar tanya sampai bila akan jalan begitu dan saya terus terang saja dengannya tetapi selitkan kata semangat serta nasihat untuk ingatkan betapa bertuah dapat anggota badan sempurna, boleh makan, gerak serta bercakap.

"Saya tunjukkan juga beberapa gambar orang kurang upaya (OKU) lain yang lebih tidak bernasib baik untuk mengajarnya bersyukur serta hargai apa yang ada dan kini dia sudah kurang bertanya soalan itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nurul Fathiah berkata, ketika hamil, doktor dapati ada masalah untuk mengukur saiz tulang kaki Umar malah selalu dapat bacaan tidak tepat berbanding organ lain.

Katanya, perkembangan organ lain seiring usia kandungan kecuali kaki yang didapati lebih pendek dan kecil jadi sejak itu kerap ada pemeriksaan untuk memastikan puncanya.

"Ketika kandungan berusia 21 minggu baru saya dapat pastikan bayi di dalam kandungan bermasalah, itu pun selepas berjumpa pakar di Hospital Seberang Jaya.

"Pakar syorkan untuk lakukan ujian pengimejan resonans magnet (MRI) namun saya dan suami  enggan kerana  tidak mahu fikir banyak serta serahkan saja pada Allah.

"Cuma, tipu kalau saya katakan tidak sedih ketika mula tahu mengenai keadaan bayi dalam kandungan memandangkan anak sulung hingga nak beli baju atau barang bayi juga tidak semangat.

"Mana tidaknya, ada kemungkinan bayi dilahirkan dengan satu kaki atau tiada langsung hingga mata bengkak menangis setiap kali pulang daripada pemeriksaan tetapi suami dan semua ahli keluarga banyak beri sokongan untuk hadapi ujian itu," katanya.

UMAR Hafiy Harith istimewa kerana dilahirkan dengan kaki pendek. FOTO ihsan Nurul Fathiah Noordin
UMAR Hafiy Harith istimewa kerana dilahirkan dengan kaki pendek. FOTO ihsan Nurul Fathiah Noordin

Meskipun dilahirkan dengan kekurangan, Nurul Fathiah tidak pernah berasa terbeban kerana baginya, Umar mudah dijaga tanpa ada masalah kesihatan lain malah sangat bijak kerana mampu menghafal doa harian sejak kecil lagi.

Katanya, doktor juga menjangkakan Umar tidak dapat duduk dan perlukan bantuan khas tetapi ditakdirkan anaknya membesar seperti insan normal malah aktif sejak kecil walaupun hanya menggunakan kekuatan tangan untuk bergerak.

"Nak ajar dia apa-apa juga sangat senang kerana otaknya mudah mengingat dan boleh faham arahan mudah seperti tunjuk anggota badan serta angguk geleng.

"Umar juga anak yang mendengar kata dan mudah diuruskan serta tidak meragam walaupun bapanya belum tunaikan apa yang dimahukan.

"Dia juga nampak matang kerana pandai menjaga adiknya ketika berumur satu tahun 11 bulan dan memenangi anugerah celik membaca dan pertandingan bercerita ketika di sekolah tadika.

"Keistimewaannya itu yang membuatkan saya dan suami menganggapnya sebagai rahmat dalam hidup kami," katanya.

Berhubung penerimaan orang sekeliling, Nurul Fathiah berkata, Umar sentiasa menjadi keutamaan dalam keluarga malah menjadi kesayangan datuk dan neneknya.

"Semua ahli keluarga sayangkan Umar begitu juga dengan orang sekeliling yang menerima baik setiap kali kami sertai apa jua aktiviti komuniti.

"Umar pula peramah orangnya jadi orang ramai mudah tertarik untuk bersembang dengannya malah saya dan suami juga dedahkannya kepada dunia luar sejak kecil lagi.

"Sebagai ibu, saya mahu dia hidup seperti insan normal tanpa fikirkan kekurangan supaya tidak berasa terbatas," katanya.

NURUL Fathiah dan suami, Amir Nor Hafizi bermain dengan Umar Hafiy Harith. FOTO ihsan Nurul Fathiah Noordin
NURUL Fathiah dan suami, Amir Nor Hafizi bermain dengan Umar Hafiy Harith. FOTO ihsan Nurul Fathiah Noordin

Mengenai perkongsian di TikTok, Nur Fathiah bersyukur kerana Umar diterima baik pengguna platform berkenaan.

"Saya memang aktif berkongsi perihal anak di laman sosial sejak hari kelahiran mereka lagi cuma selalunya di Facebook (FB) atau status WhatsApp.

"Di TikTok pula baru beberapa minggu kebelakangan ini saya muat naik video pendek anak terutama Umar.

"Saya muat naik secara santai saja video Umar dan kakak sepupunva baca surah Al-Mulk dalam solat, tak sangka perkongsian itu dapat banyak tontonan.

"Jadi kita teruskan dengan rekod lebih banyak video memandangkan ramai ternanti perkembangan Umar.

"Sebagai ibu, saya terharu kerana ramai titipkan doa dan beri sokongan walaupun tidak mengenali kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 7:00 PM