KONSERT dirancang Sheila tidak jadi kenyataan berikutan kesukaran dapat tajaan.
KONSERT dirancang Sheila tidak jadi kenyataan berikutan kesukaran dapat tajaan.

Ratu jaz negara, Datuk Sheila Majid sememangnya boleh berbangga dengan pelbagai pencapaian yang diraih sepanjang pembabitan lebih 30 tahun dalam bidang muzik.

Pengiktirafan terbesar turut diraih apabila Sheila, 51, diberikan Anugerah Wirama pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik 22 (AIM 22), Ahad lalu.

“Saya gembira dengan apa yang dikecapi. Sebenarnya saya bermula dalam nyanyian sebagai hobi. Saya sendiri awalnya tak pasti sama ada bapa saya bersetuju atau tidak.

“Ketika menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), saya minta kebenaran bapa untuk menyanyi. Dia kata ‘okeylah’ sebab saya pun tak buat apa-apa ketika itu. Kalau bapa saya tak restu tak mungkin saya sampai ke tahap ini,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, di sebalik keceriaannya menerima anugerah itu, Sheila kecewa kerana matlamat mengadakan konsert bagi meraikan ulang tahun ke-30 seakan-akan tidak kesampaian.

“Orang kita sekarang lebih sukakan konsert percuma tapi tengoklah pada kualitinya. Konsert percuma itu bagaimana?

“Pilihan terletak di tangan mereka sama ada untuk tengok konsert berbayar yang berkualiti atau nak tengok yang bertaraf ‘funfair’.

“Kalau nak tengok ‘funfair’ janganlah komplen jika kualiti yang ditampilkan teruk. Cuba semak balik konsert artis era 1980-an. Saya dulu terpegun apabila menonton konsert Search. Memang hebat dan ia sukar lagi disaksikan pada era sekarang,” katanya.

Sheila meminta maaf terhadap peminat yang menantikan konsertnya kerana dia tiada perancangan menganjurkannya pada masa ini.

“Saya dah tutup buku. Sudah tiada perancangan itu dan tahun depan saya pun nak keluar dengan album terbaru. Inilah fokus saya yang terbaru.

“Saya minta maaf sangat-sangat dengan peminat Malaysia kerana tiada konsert seperti yang dijanjikan. Ia amat menyedihkan tapi apa nak dibuat kerana amat sukar untuk dapat penaja.

“Saya mulakan langkah untuk konsert dengan persembahan di Los Angeles, Bandung, Singapura dan seterusnya menanti peluang beraksi di negara sendiri. Tapi akhirnya tiada apa-apa juga. Mungkin ada orang ingat muzik perkara remeh tapi sebenarnya muzik adalah seni. Ia juga bukan hiburan semata-mata, “ katanya.

Enggan memikirkan masalah ini, Sheila lebih selesa bercakap mengenai pembikinan album terbarunya.

“Saya akan bekerjasama dengan Tohpati untuk empat lagu dalam album yang memuatkan 10 lagu.

“Sudah 30 tahun saya kekal dengan konsep muzik yang dikenali, jadi tak mungkinlah saya ubah konsep kerana nanti peminat akan terkejut.

“Nanti mereka kata saya nak jadi muda pula. Saya rasa peminat dah faham stail saya. Lagipun saya selesa dengan apa yang ada dan mungkin pada Februari atau Mac tahun depan akan dikeluarkan,” katanya. - Ridzuan Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 1:23 PM