ADRIANA muncul dalam drama Suri Hati sebagai Suraya.
ADRIANA muncul dalam drama Suri Hati sebagai Suraya.
Najiy Jefri


PERJALANAN seni Adriana Adnan dalam bidang lakonan terus cemerlang apabila semakin dihujani tawaran demi tawaran daripada syarikat produksi dan stesen TV.

Terbaharu, Adriana membintangi drama bersiri slot Samarinda TV3 berjudul Suri Hati yang mula ditayangkan pada 12 Oktober lalu.

Kali pertama diberi peluang mewarnai stesen TV gergasi itu, Adriana menganggap rezeki yang diberikan hadiah istimewa buat dirinya.

"Drama ini adalah pembabitan pertama saya di TV3. Alhamdulillah saya bersyukur apabila ditawarkan membintangi drama ini.

"Saya akui sudah lama menantikan saat ini. Rasanya setiap pelakon mengimpikan lakonannya ditayangkan di TV3 dan kali ini rezeki saya pula," katanya.

Drama bersiri 20 episod terbitan Million Pictures Sdn Bhd itu adalah arahan Azhar Khalid yang juga dikenali sebagai Apache dan skrip oleh Amaz Mizilan.

Drama yang penuh konflik ini turut menggandingkan pelakon terkemuka tanah air seperti Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Melanie Tan dan Fahrin Ahmad.

Memegang watak sebagai Suraya, Adriana berkata, drama terbabit memberi cabaran baharu buat dirinya apabila perlu bermain dengan emosi dan air mata.

"Suraya adalah seorang suri rumah yang mengimpikan kehidupan bahagia selepas berkahwin dengan seorang duda anak satu.

"Namun, kehidupannya diuji apabila anak tirinya, Marissa tidak dapat menerimanya selaku ibu tiri dan suaminya Marzuki (Fahrin Ahmad) mula curang dengan kekasih lama.

"Jadi, saya perlu banyak bermain dengan emosi dan air mata dalam drama ini. Sebelum menjalani penggambaran saya membuat carian di Google mengenai cara menangis dengan mudah.

"Ini kerana watak yang pernah dibawakan sebelum ini kebanyakannya lebih menjadi diri sendiri seperti wanita periang dan lucu," katanya.

Menurut Adriana, dia bersyukur apabila dapat menghayati watak Suraya dengan baik melalui pengalaman lakonan sebelum ini.

AKUI tidak malu untuk menghadiri sesi uji bakat.
AKUI tidak malu untuk menghadiri sesi uji bakat.

"Saya yakin pengalaman sebelum ini turut membantu saya untuk menghayati watak lebih baik. Saya juga ada mengikuti kelas lakonan sebelum ini untuk memberi keyakinan menjayakan setiap watak yang diberikan," katanya.

Tetap jalani uji bakat

Biarpun namanya sudah semakin dikenali dalam dunia lakonan, Adriana menegaskan dia masih menghadiri sesi uji bakat yang dilakukan syarikat produksi.

Kata wanita yang terkenal menerusi drama bersiri Suri Hati Mr Pilot itu, dia menganggap uji bakat adalah sesi penting buat seseorang pelakon menunjukkan bakat.

"Saya tak pernah malu atau malas ke uji bakat kerana daripada situ kita dapat lihat persaingan dan banyak belajar perkara yang mungkin kurang disedari sebelum ini.

"Bagi saya sesi berkenaan menjadi medan untuk orang nampak bakat kita. Kalau tak diterima untuk watak yang dimahukan, siapa tahu mereka tawarkan pula watak untuk projek lain.

"Lagipun, melalui uji bakat juga adalah penentu sama ada seseorang pelakon itu mampu atau tidak membawakan watak yang ingin ditawarkan," katanya.

Dalam kesibukan mengatur jadual penggambaran, Adriana menegaskan tidak sesekali terdetik meninggalkan bidang pengacaraan.

Kata Adriana, cinta pertama yang tercetus sebaik melangkah ke arena hiburan enggan dipinggirkan begitu saja.

"Beberapa tahun dulu saya pernah memperlahankan rentak lakonan berikutan komitmen penerbitan, namun kini saya hanya dipertanggungjawabkan mengendalikan program HLive lapan kali dalam sebulan, jadi saya boleh bagi fokus terhadap lakonan.

"Kerjaya pengacaraan akan sentiasa menjadi cinta pertama saya, tapi saya akui lakonan juga memberi satu kepuasan baharu kepada saya untuk mencabar diri menjadi seseorang yang berbeza," katanya.

Dalam perkembangan lain, Adriana berkata, dia bakal terbabit dalam telemovie berjudul Obses yang bakal ditayangkan di Astro Citra bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 6:00 AM