SUSPEK Datuk Seri (tengah) yang kini berdepan pendakwaan mahkamah di Amerika Syarikat atas jenayah penyeludupan hidupan liar.
SUSPEK Datuk Seri (tengah) yang kini berdepan pendakwaan mahkamah di Amerika Syarikat atas jenayah penyeludupan hidupan liar.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Petaling Jaya: Selepas sekian lama licik melarikan diri, 'raja' penjenayah hidupan liar antarabangsa berstatus Datuk Seri akhirnya berjaya ditahan dan diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk pendakwaan mahkamah bermula semalam.

Suspek, Teo Boon Ching, 57, yang sebelum ini diletakkan dalam senarai merah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diberkas pihak berkuasa Thailand selepas didapati terbabit dalam jenayah penyeludupan hidupan liar.

Difahamkan suspek yang terbabit dalam pemerdagangan haram hidupan liar dan pengubahan wang haram rentas benua pernah dikaitkan dengan penyeludupan tanduk badak sumbu Afrika, gading gajah dan sisik tenggiling.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya sebelum ini pernah melakukan kerjasama dengan polis antarabangsa Interpol bagi menjejaki suspek.

Menurutnya, serbuan pernah dilakukan terhadap premis yang ada kaitan dengan suspek namun lelaki itu gagal ditahan berikutan melarikan diri ke luar negara.

"Bagaimanapun dia berjaya ditahan pihak berkuasa Thailand pada 26 Jun lalu atas jenayah sama sebelum diekstradisi ke AS.

"Teo Boon Ching tidak mempunyai tempat kediaman tetap. Dia sentiasa berpindah randah dari satu negara ke negara lain terutamanya di Afrika. Ini menyebabkan dia sukar dikesan pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Difahamkan suspek sebelum ini memberi alasan masuk ke Thailand untuk urusan perniagaan minyak ganja pada Jun lalu sebelum ditahan di daerah Wang Tholang.

Suspek yang aktif dalam rangkaian global penyeludupan hidupan liar digelar 'bapa perdagangan hidupan liar' oleh Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat (AS), sekali gus dikehendaki oleh pihak berkuasa AS.

Dia pernah ditangkap kali pertama di Thailand pada 2015 kerana menyeludup gading gajah Afrika melalui daerah Sadao di Songkhla.

Terdahulu semalam, Jabatan Perbendaharaan AS turut mengeluarkan kenyataan media memaklumkan suspek dikenakan tindakan sekatan ke atas semua kepentingan dan harta miliknya atas kesalahan pemerdagangan kejam hidupan liar yang terancam, termasuk produk pemburuan haram.

Peguam Amerika Syarikat bagi daerah Selatan New York, Damian Williams dan Penolong Pengarah Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS Edward J.

Grace memaklumkan kelmarin bahawa suspek yang turut dikenali sebagai Zhang, Datuk Seri atau Godfather didakwa kerana mengambil bahagian dalam konspirasi menyeludup lebih 70 kilogram tanduk badak sumbu bernilai lebih AS $725,000 (RM3.3 juta ) membabitkan pemburuan haram banyak badak sumbu, spesies hidupan liar yang terancam.

Suspek juga didakwa melakukan pengubahan wang haram hasil jualan badak sumbu serta bersubahat melakukan penyeludupan hidupan liar, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 7:00 AM