ANTARA tanduk badak sumbu berkenaan. FOTO AFP
ANTARA tanduk badak sumbu berkenaan. FOTO AFP
BERNAMA

Singapura: Lembaga Taman Negara Singapura (NParks) merampas 20 tanduk badak sumbu yang diseludup melalui Lapangan Terbang Changi, dianggarkan bernilai sekitar 1,200,000 dolar Singapura.

"Rampasan tanduk badak itu yang terbesar di Singapura setakat ini," menurut Nparks dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu.

Bahagian keselamatan lapangan terbang dan unit K9 mengesan 34 kilogram tanduk badak di dalam dua bagasi.

Pemilik bagasi berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari Afrika Selatan ke Laos dan transit di Singapura, sudah ditahan.

Menurut Nparks, badak sumbu dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) serta transaksi perdagangan antarabangsa membabitkan tanduknya adalah dilarang.

Singapura antara negara yang menandatangani Cites dan komited dengan usaha antarabangsa untuk mengekang perdagangan hidupan liar haram demi memastikan kelangsungan hidup haiwan ini.

NPARKS memaklumkan bahawa ujian genetik sedang dijalankan di pusat forensik hidupan liar untuk mengenal pasti spesies badak sumbu.

"Tanduk-tanduk itu akan dimusnahkan bagi menghalangnya daripada memasuki semula pasaran dan bertujuan menjejaskan rantaian bekalan tanduk badak yang didagangkan secara haram," menurut kenyataan itu.

Di bawah Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport), pemilikan spesies dalam transit di Singapura tanpa permit Cite yang sah boleh dikenakan denda sehingga 50,000 dolar Singapura setiap spesies (tidak melebihi agregat 500,000 dolar Singapura ) dan atau hukuman penjara sehingga dua tahun.

Penalti yang sama dikenakan untuk mereka yang memiliki atau memindahkan spesies yang dijadualkan, termasuk bahagian dan derivatif haiwan berkenaan.

Singapura tidak bertoleransi dalam isu perdagangan haram spesies hidupan liar yang terancam, menurut Nparks.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 8:31 AM