MUHAMAD Faiz bersama isteri dan dua anaknya. FOTO Ihsan Muhamad Faiz
MUHAMAD Faiz bersama isteri dan dua anaknya. FOTO Ihsan Muhamad Faiz
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Muhamad Faiz Mohd Noor, 31, yang menghidap penyakit scoliosis iaitu tulang belakang bengkok ke sisi menyebabkan tubuh berbentuk S cukup bersyukur kepada Allah SWT kerana dianugerahi isteri serta tiga zuriat walaupun tergolong dalam golongan orang kurang upaya (OKU).

"Isteri tekad mengahwini saya walaupun ada suara sumbang yang mempertikaikan keputusannya bersuamikan lelaki OKU.

"Ini kerana isteri sangat yakin dengan takdir dan jodoh yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT," katanya.

Muhamad Faiz menghidap penyakit terbabit ketika berusia tiga tahun dan penyakitnya itu menjadi semakin teruk manakala bentuk S lebih ketara ketika berumur enam tahun.

Sebelum ini, Muhamad Faiz menjadi tular apabila dia memuat naik sekeping foto bersama isteri, Nurul Athirah Mohamad Hanaffi, 28,  dan dua anak mereka dengan keterangan meminta warga maya menyunting gambarnya supaya kelihatan seperti orang normal. 

Ini kerana Muhamad Faiz mengatakan dia teringin melihat bentuk tubuhnya lurus.

Dia mendirikan rumah tangga dengan wanita normal, Nurul Athirah  pada 2017 dan memiliki tiga cahaya berusia di tiga bulan hingga lima tahun.

Katanya, dia bersyukur dikurniakan isteri yang sangat baik dan tidak pernah malu memiliki suami OKU sepertinya.

"Saya mengenali isteri melalui rakan-rakan dan sangat terharu kerana isteri tetap sudi menerima saya meskipun dalam tempoh perkenalan, saya tidak memiliki sebarang harta.

MUHAMAD Faiz mengusahakan perniagaan takoyaki di Semenyih, Selangor. FOTO Ihsan Muhamad Faiz
MUHAMAD Faiz mengusahakan perniagaan takoyaki di Semenyih, Selangor. FOTO Ihsan Muhamad Faiz

"Keluarga mentua juga sangat terbuka dengan pilihan jodoh isteri untuk menjadikan saya sebagai suaminya, malah mereka tidak menetapkan sebarang syarat," katanya.

Muhamad Faiz berkata, apabila hampir mendirikan rumah tangga, barulah dia dapat membeli sebuah Perodua Viva terpakai.

Menurutnya, perkahwinan itu menjadi pembakar semangatnya untuk mengubah persepsi negatif segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap OKU.

"Sejak dua tahun lalu, saya mengusahakan perniagaan takoyaki di Semenyih, Selangor dan sangat bersyukur perniagaan ini berkembang dengan baik.

"Setakat hari ini, saya memiliki empat stokis di Johor, Perak, Kelantan dan Pulau Pinang serta 25 ejen di seluruh negara.

"Alhamdulillah, daripada sebuah Perodua Viva terpakai, kini kami  memiliki kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan perniagaan," katanya.

Katanya lagi, OKU juga berhak mempunyai kehidupan yang sempurna seperti insan normal lain.

"Kecacatan fizikal bukan ukuran kebahagiaan dalam rumah tangga," katanya.

Selain itu, Muhamad Faiz berkata, dia sebenarnya bimbang ketiga-tiga anaknya 'mewarisi' penyakit tulang belakang bengkok memandangkan dua adik-beradiknya turut menghidap penyakit sama.

"Saya dan isteri sangat positif dengan perkara itu dan sentiasa berlapang dada seandainya ada anaknya menghidap penyakit berkenaan pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, saya dan isteri tidak henti berdoa kepada Allah SWT agar perkara ini tidak terjadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 7:30 AM