SEBAHAGIAN pelakon OKU yang memainkan watak dalam filem.
SEBAHAGIAN pelakon OKU yang memainkan watak dalam filem.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


MENJALANI kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) pasti berdepan banyak dugaan dan cabaran. Tidak kira dilahirkan istimewa atau mengalami kecacatan ketika membesar, kedua-duanya tetap meninggalkan rasa yang sukar digambarkan.

Bagaimanapun, penerimaan dan sikap lapang dada sering menjadikan golongan ini lebih tabah serta cekal menjalani pelbagai ujian dalam hidup.

Kesempatan bertemu bekas atlet paralimpik negara, Izam Abdul Hamid, 46, baru-baru ini memberi banyak inspirasi buat penulis. Anak kelahiran Batu Pahat ini bukan calang-calang orang.

Kental jiwa dan kecekalannya mengejar impian bergelar atlet suatu masa dulu dilakonkan kembali Pablo Amirul di samping penyanyi rap berkerusi roda, Ahmad Maembong menerusi filem Garang.

Mengimbau kembali saat kegemilangannya bergelar atlet paralimpik lumba kerusi roda, kata Izam, dia pernah mewakili negara hingga ke Jepun dan Korea Selatan sekitar 1998 hingga 2005.

 IZAM (kiri) bersama watak utama filem Garang, Ahmad Maembong.
IZAM (kiri) bersama watak utama filem Garang, Ahmad Maembong.

SULUNG OKU

Memulakan karier dalam sukan seawal usia 16 tahun, anak sulung daripada enam beradik ini tidak pernah berputus asa membuktikan kemampuan diri biarpun bergelar OKU.

“Dalam adik-beradik, hanya saya yang begini (OKU). Walaupun cacat fizikal, namun saya tetap tidak suka dimanjakan.

“Biar sesukar mana sekalipun, saya optimis dan sentiasa cuba mencari jalan yang boleh membanggakan keluarga dan membuatkan ibu tersenyum.

“Secara tidak langsung, saya terpaut pada bidang sukan. Sekalipun sedar permulaannya sukar, saya nekad mencuba. Paling utama, saya bangga kerana berjaya meraih kepercayaan keluarga untuk terus berjuang sebagaimana orang normal,” katanya.

Bagi Izam, dia cukup memahami kebimbangan ibunya untuk melepaskan anak sulung menjalani rutin baharu di dunia serba mencabar. Tambahan dengan keadaan dirinya sebagai OKU.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu terlalu bergantung kepada ibu dan ayah. Saya tahu betapa mereka risau dan takut andai anaknya menjadi mangsa aniaya orang lain.

“Namun, pada masa sama saya mahu orang di sekeliling melihat kemampuan diri OKU walaupun tidak sempurna sebagaimana orang normal.

“Mana tahu, kisah suka duka bergelar atlet dulu akhirnya dibawa ke layar perak. Tawaran ini datang tanpa disangka daripada pengarah filem Garang yang juga anak kepada pengurus Bengkel Sampul Surat, Batu Pahat, Kan Varren,” katanya.

Jelas Izam, Varren antara individu yang membesar bersamanya dan puluhan pelatih OKU lain di bengkel berkenaan.

“Varren kata dia berminat menghidupkan watak saya dalam filem. Sekalipun teruja, timbul juga perasaan ragu. Siapa hendak tengok filem OKU?

“Selepas berbincang, saya akur dan mula buat penyusunan. Saya mahu menyampaikan mesej yang selama ini gagal menyedarkan ahli masyarakat mengenai kehadiran dan keperluan OKU.

“Sempena Hari OKU Antarabangsa yang disambut esok (3 Disember), saya berharap masyarakat dapat mengiktiraf dan menerima kewujudan kami seadanya.

“Kami bukan mahu disanjung, apatah lagi diberi pelbagai keistimewaan. Memadai menghormati kemudahan yang disediakan khas buat OKU (tidak menggunakannya sesuka hati) dan membudayakan pembabitan kami dalam pelbagai sektor,” katanya.

Kata Izam, senario dalam masyarakat kita hari ini banyak mengecewakan OKU sepertinya berikutan dilayan tanpa simpati dan berdepan diskriminasi.

“Mengambil contoh di Jepun dan Korea Selatan apatah lagi di Eropah, masyarakat di sana cukup memahami serta menghormati keperluan OKU.

“Di Malaysia, kemudahan disediakan untuk OKU terang-terang disalahgunakan. Kalau OKU ambil ruang untuk memperjuangkan hak, pasti timbul masalah.

“Memang banyak kemudahan asas disediakan untuk OKU, tapi tidak semua boleh digunakan dengan baik. Ada yang dibuat umpama sekadar melepas batuk di tangga saja.

“Saya harap filem pertama yang membariskan lebih 70 pelakon OKU ini nanti mampu menyampaikan mesej jelas dan gambaran sebenar terpaksa dilalui golongan istimewa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 5:10 AM