Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Harga nyawa hanya setara nilai sebuah telefon pintar. Itu yang berlaku apabila semakin ramai pemandu kenderaan di jalan raya dikesan menggunakan alat telekomunikasi itu ketika menggunakan kenderaan.

Perbuatan ini tidak hanya memfokuskan pemandu kereta semata-mata, malah itu turut membabitkan pemandu kenderaan berat serta penunggang motosikal.

Tidak hanya membuat atau menjawab panggilan telefon, lebih parah ada kalangan pengguna telefon pintar ini turut melayari media sosial dan melihat video sambil membawa kenderaan.

Tindakan berbahaya ini yang boleh menjadi punca hilang tumpuan berisiko mengakibatkan kemalangan jiwa.

Sikap tidak bertanggungjawab itu dapat dilihat dengan jelas melalui tinjauan wartawan Harian Metro sepanjang pemanduan di lebuh raya di sekitar ibu kota dan ketika kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Berdasarkan tinjauan, terdapat segelintir penunggang motosikal yang terlalu leka dengan telefon bimbit sehingga memaksa pengguna kenderaan lain membunyikan hon sebagai amaran.

Lebih membahayakan penunggang motosikal terbabit turut dilihat melanggar lampu isyarat merah, malah ada yang tidak memakai topi keledar terutama di kawasan-kawasan perumahan.

Tinjauan terhadap pemandu kenderaan pula mendapati mereka tidak hanya menggunakan telefon pintar semasa memandu untuk menjawab panggilan atau membalas mesej, tetapi turut melayari media sosial.

Tindakan mereka itu bukan saja membahayakan keselamatan diri sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

Perkara itu turut diakui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengesan penggunaan telefon bimbit semasa memandu antara kesalahan tertinggi yang direkodkan pihaknya menerusi Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, sebanyak 3,739 kes penggunaan telefon bimbit semasa memandu direkodkan bagi tempoh tahun lalu sehingga Jun tahun ini.

Separuh pertama tahun ini saja, beliau berkata, sejumlah 1,484 kes sudah direkodkan manakala baki 2,255 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

"Namun kesalahan paling tinggi yang direkodkan adalah tidak memakai tali pinggang keselamatan dengan 4,873 kes tahun lalu manakala 3,511 kes bagi tahun ini sehingga Jun menjadikan keseluruhan 8,384 kes.

"Ia diikuti tidak mematuhi lampu isyarat membabitkan 5,064 kes (2021) dan 1,974 kes (sehingga Jun 2022) dengan jumlah keseluruhan 7,038 kes," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, katanya, tidak memakai topi keledar mencatatkan 4,568 kes sepanjang tahun lalu sehingga Jun tahun ini manakala memotong barisan secara bahaya (2,642 kes), menggunakan lorong kecemasan (620 kes), memotong di garisan berkembar (261 kes) dan lain-lain kesalahan (38,798 kes).

Zailani berkata, JPJ sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan sekaligus mengekang kemalangan berlaku.

Justeru, beliau menasihati pengguna jalan raya untuk terus patuh kepada peraturan lalu lintas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang.

EAC pantau pengguna jalan raya guna telefon bimbit

PESALAH lalu lintas dikenal pasti melalui EAC yang dipasang pada topi keledar anggota UPB dan berfungsi merakam kesalahan serta nombor pendaftaran kenderaan.
PESALAH lalu lintas dikenal pasti melalui EAC yang dipasang pada topi keledar anggota UPB dan berfungsi merakam kesalahan serta nombor pendaftaran kenderaan.

Kuala Lumpur: Awas pengguna jalan yang gemar menggunakan telefon pintar ketika memandu atau sering memotong barisan ketika kesesakan, kerana perbuatan anda mungkin dirakam.

Ini kerana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) mempunyai kamera aksi pengawasan (EAC) untuk merakam kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.

Selain dua kesalahan itu, pemantauan turut dilakukan terhadap pemandu yang melanggar lampu isyarat, memotong di lorong kiri atau garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang keselamatan atau topi keledar serta memandu secara berterusan di lorong kanan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, pemantauan dilakukan 168 anggota UPB di seluruh negara sebagai satu kaedah memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan.

Beliau berkata, UPB yang ditubuhkan sejak 2015 mempunyai 128 motosikal jenis Kawasaki Versys berkapasiti 650cc dan 250cc selain dilengkapi EAC jenis GoPro Max 360 serta Smart Enforcement Device (SMED).

Menurutnya, ia antara transformasi dilakukan kepada anggota penguat kuasa iaitu berubah daripada cara manual kepada elektronik selaras tema Ulangtahun JPJ ke-76 - Digitalisasi Kebitaraan JPJ.

"Objektif asal UPB ditubuhkan adalah untuk memudahkan proses tindakan penguatkuasaan di lapangan dengan tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas dan rasa tidak selesa kepada pengguna lain melalui pemeriksaan secara pendigitalan.

"Pesalah lalu lintas dikenal pasti melalui EAC yang dipasang pada topi keledar anggota UPB dan berfungsi merakam kesalahan serta nombor pendaftaran kenderaan. Kesalahan dirakam akan terus dihantar kepada sistem MySikap yang akan mengesan maklumat peribadi pemilik kenderaan.

"Cara ini tidak memerlukan bentuk komunikasi bersemuka antara anggota dan pengguna jalan raya kerana dalam sistem sudah ada semua maklumat dan kesalahan disabitkan. Notis kemudian akan dihantar kepada pemilik kenderaan terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Tindakan penguatkuasaan itu turut tular sejak kebelakangan ini, apabila anggota UPB yang merakam kesalahan pengguna jalan raya dimuat naik di media sosial.

Apa yang menarik perhatian warganet adalah aksi anggota UPB menghampiri pesalah lalu memberi bahasa isyarat dengan menunjukkan kamera pada topi keledar dan isyarat mengenai kesalahan dilakukan, sebelum dilihat beredar.

Apabila pengguna jalan raya melakukan kesalahan, Zailani berkata, anggota UPB akan membuat teguran secara lisan atau memberi bahasa isyarat mengenai kesalahan dilakukan selepas menyalakan lampu mata arah serta membunyikan hon.

"Pendekatan digunakan ini juga selari objektif penguatkuasaan JPJ untuk meningkatkan perception of being caught (POBC) atau kebolehlihatan penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang.

"POBC sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pengguna jalan raya supaya akur kepada peraturan ditetapkan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemantauan UPB lebih tertumpu di kawasan bandaraya sering berlaku kesesakan yang menghadkan pergerakan anggota untuk menjalankan penguatkuasaan.

Bagaimanapun, katanya, UPB lebih memberi fokus kepada sembilan kesalahan utama iaitu tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keselamatan, menggunakan telefon pintar semasa memandu, gagal patuh lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memotong di laluan kiri, menggunakan lorong kecemasan, memandu di lorong kanan secara berterusan dan membawa muatan bahaya.

Untuk rekod, sebanyak 129,681 kenderaan diperiksa dengan 45,256 kenderaan diambil tindakan oleh UPB bagi tempoh tahun lalu sehingga Jun tahun ini.

Selain itu, sebanyak 86,364 notis dan saman dikeluarkan oleh UPB bagi tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 12:30 PM
PESALAH lalu lintas dikenal pasti melalui EAC yang dipasang pada topi keledar anggota UPB dan berfungsi merakam kesalahan serta nombor pendaftaran kenderaan.
PESALAH lalu lintas dikenal pasti melalui EAC yang dipasang pada topi keledar anggota UPB dan berfungsi merakam kesalahan serta nombor pendaftaran kenderaan.
JPJ sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan. FOTO Mohd Fadli Hamzah
JPJ sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan. FOTO Mohd Fadli Hamzah