GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Bekalan elektrik yang terjejas di beberapa kawasan di Lembah Klang, Pahang dan Pulau Pinang pulih sepenuhnya pada 3.02 petang.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan berkata, kebanyakan kawasan yang terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.

"Siasatan TNB mendapati gangguan bekalan yang bermula pada jam 12.39 tengahari itu berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

"Ia mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt (GW) yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia," katanya.

TNB memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.

"Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454,"katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan beberapa kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan elektrik hari ini.

Rata-rata pengguna di media sosial memaklumkan perkara itu berlaku di beberapa kawasan secara mengejut.

Beberapa perkhidmatan di sekitar ibu kota juga dilaporkan tergendala antaranya perkhidmatan rel Aliran Transit Ringan (LRT), lampu isyarat dan lif di bangunan-bangunan di sekitar ibu kota.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 3:58 PM