Muhaamad Hafis Nawawi

Hulu Selangor: Beri alasan kononnya pemilik kedai adalah warga tempatan namun premis diusahakan itu tidak memiliki lesen perniagaan sah hingga menimbulkan keraguan pihak berkuasa.

Malah, rata-rata kedai makan dan premis perniagaan di Bukit Sentosa di sini, turut dikesan dikendalikan pengurus dan pekerja warga asing sepanjang masa.

Itu antara senario dilihat sepanjang operasi gempur khas dilakukan pihak berkuasa di sekitar kawasan penempatan itu yang dimonopoli oleh warga asing pelbagai negara bermula jam 9 pagi semalam.

Serbuan dijalankan di kawasan Bukit Sentosa itu dilakukan susulan laporan khas Harian Metro berkaitan kehadiran terlalu terlalu ramai warga asing yang mengubah landskap kawasan itu menjadi penempatan 'jajahan' golongan pendatang.

DUA pekerja warga asing tanpa dokumen sah ditahan. FOTO Fariz Iswadi Ismail
DUA pekerja warga asing tanpa dokumen sah ditahan. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Operasi bersepadu itu disertai Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Tinjauan wartawan mendapati rata-rata warga asing yang tinggal atau berniaga di kawasan itu bagaikan dapat menghidu kehadiran anggota penguat kuasa lebih awal.

SEBAHAGIAN premis  diperiksa dalam serbuan di Bukit Sentosa. FOTO Fariz Iswadi Ismail
SEBAHAGIAN premis diperiksa dalam serbuan di Bukit Sentosa. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Ini dibuktikan apabila ada antara premis perniagaan dikendalikan mereka ditutup operasi manakala bilangan warga asing jauh berkurangan berbanding sebelum ini.

Malah, ketika operasi dilakukan, ada pekerja warga asing turut dikesan melarikan diri sebaik melihat kenderaan penguat kuasa.

Ketika awal operasi, dua pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah sempat ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Seorang wanita warga Myanmar berusia 27 tahun yang bekerja di kedai perniagaan tidak berlesen dilihat menangis sebaik ditahan pihak Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Wanita itu yang disoal siasat memberitahu sudah tiga tahun menetap di negara ini. Dia mendakwa pernah tinggal di Pulau Pinang sebelum berpindah dan bekerja di kedai makan di Bukit Sentosa di sini.

Turut ditahan bersamanya seorang lelaki warga Myanmar yang juga rakan sekerja kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa dia sudah berada di negara ini selama empat tahun dan pernah bekerja di kedai perabot di Klang.

Menurutnya, dia baru sahaja bekerja di kedai makan itu dan mendakwa pasportnya disimpan bekas majikan lama.

WARGA asing melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa. FOTO Fariz Iswadi Ismail
WARGA asing melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Sementara itu, pengurus warga Myanmar yang mengendalikan kedai makan cuba berdalih dengan mendakwa pemilik premis itu adalah orang tempatan menetap di Sungai Buloh.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati premis makanan itu tidak mempunyai lesen perniagaan menyebabkan premis berkenaan berserta barangannya disita.

Pengurus warga Myanmar berkenaan tidak ditahan kerana memiliki dokumen yang sah.

Malah, dua pekerja warga asing sebuah restoran nasi kandar yang sedang bekerja turut melarikan diri sejurus melihat kehadiran pihak berkuasa.

Mereka pada mulanya berpura-pura berjalan seperti tiada apa-apa namun terus melarikan diri apabila disedari pihak berkuasa yang memanggil mereka.

BARANGAN dirampas daripada sebuah premis disita. FOTO Fariz Iswadi Ismail
BARANGAN dirampas daripada sebuah premis disita. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Sementara itu, seorang lagi rakan sekerjanya yang berada di kaunter tidak sempat melarikan diri sebelum ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Menerusi laporan khas Harian Metro sebelum ini mendedahkan golongan warga asing pelbagai negara terbabit 'menawan' hampir semua sektor perniagaan serta mendominasi lot kedai di kawasan itu.

Malah, kawasan rumah kedai yang disewa warga asing ini juga agak kotor dengan kesan contengan.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 12:00 PM