Tinjauan warga tempatan yang tidak pulang ke kampung keluar beriadah bersama keluarga di sekitar Bukit Bintang sempena cuti umum Deepavali. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Tinjauan warga tempatan yang tidak pulang ke kampung keluar beriadah bersama keluarga di sekitar Bukit Bintang sempena cuti umum Deepavali. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Orang ramai terutama warga asing mengambil peluang bersiar-bersiar dan membeli-belah di sekitar ibu kota sempena cuti Deepavali, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan warga Bangladesh dan Nepal memenuhi sekitar Chow Kit dan Lebuh Pudu, manakala warga tempatan di Bukit Bintang.

Mereka memanfaatkan cuti dengan bersiar-siar, mengambil gambar dan membeli barang bersama rakan serta keluarga masing-masing.

Walaupun pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka sudah tidak dikuatkuasakan tetapi orang ramai masih ada yang kekal memakainya sebagai langkah mengelak jangkitan Covid-19.

Suri rumah yang hanya mahu dikenali Asmariah berkata, dia yang tinggal di Selangor mengambil peluang bersiar-siar di pusat membeli-belah di sekitar Bukit Bintang bersama suami kerana tidak mempunyai kampung halaman.

"Saya memang orang Selangor dan kami tiada kampung untuk pulang apabila cuti sebab itu kami datang ke sini untuk bersiar-siar sambil 'cuci mata' melihat barang.

"Kami pula memang jarang datang ke Kuala Lumpur jadi apabila ada cuti macam ini ambil peluang ke sini dan jalan pun tak sesak sangat berbanding hari biasa," katanya.

Pekerja warga Nepal, Iffwar berkata, dia bersama tiga rakan senegara memanfaatkan cuti umum berkumpul dan merakam gambar kenangan di sekitar ibu kota untuk dikirim kepada keluarga.

"Kami memang suka bergambar di sekitar ibu kota dan ini untuk kenangan apabila pulang ke negara asal nanti. Lagipun apabila ada perayaan banyak dekorasi menarik jadi kami ambil kesempatan bergambar," katanya.

Sementara itu, pemandu teksi, Jaafar Busin, 37, berkata, bilangan orang ramai terutama warga tempatan ke beberapa lokasi di sekitar ibu kota dilihat tidak seramai seperti sebelum ini.

Menurutnya, dia percaya warga tempatan lebih memilih pulang ke kampung halaman selepas dua tahun tidak dapat pulang kerana pandemik Covid-19.

"Sebelum ini seperti di Bukit Bintang memang ramai dengan orang asing dan warga tempatan yang bersiar-siar sempena cuti umum tetapi hari ini agak kurang. Tetapi di kawasan lain memang ramai pekerja warga asing bersiar-siar.

"Selalunya sebelum ini saya boleh dapat lebih 20 trip sehari tetapi sehingga tengah hari baru ada tiga trip sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 1:29 PM