YANG bekerja di tapak pembinaan tempat ibunya bekerja. FOTO Weibo
YANG bekerja di tapak pembinaan tempat ibunya bekerja. FOTO Weibo
Agensi

Beijing: Seorang guru di tengah China berusaha lebih keras untuk memberi pengajaran kepada muridnya yang malas belajar dengan membawa kanak-kanak itu ke tapak pembinaan, tempat ibunya bekerja sebagai buruh kasar.

Murid itu, Yang, 12, dilaporkan ketagih internet dan berhenti daripada hadir ke sekolah, kira-kira 20 hari sebelum itu.

Guru itu berkata, dia memutuskan untuk menunjukkan kepada kanak-kanak lelaki itu betapa gigihnya ibunya bekerja bagi menyara keluarga.

"Apabila ibu Yang cakap dia memperoleh kira-kira 100 yuan (kira-kira RM65) sehari, Yang menjawab mudah.

"Jadi, saya memutuskan membawanya ke tapak pembinaan tempat ibunya bekerja," kata guru itu kepada platform berita Xibu Juece.

Guru itu mengejutkan Yang daripada tidur pada jam 4 pagi seperti ibunya dan bekerja selama berjam-jam di tapak pembinaan.

Dia juga menemani Yang pada hari itu dan percaya kanak-kanak itu akan kembali ke sekolah, jika dia sendiri merasai kepayahan kerja keras itu.

Yang berkata, ketiadaan ibu bapanya membuatkannya bosan dan kosong.

"Ia membuatkan saya mula ketagih bermain permainan di telefon.

"Kini, saya belajar betapa gigihnya ibu saya bekerja untuk mencari rezeki.

"Jadi, saya akan berusaha keras untuk belajar dan membalas budinya," katanya.

Usaha guru berkenaan memberi pengajaran kepada Yang meraih perhatian dan menjadi inspirasi kepada netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 6:30 AM