KAK Teh yang ditemui di Sungai Nibong, di sini, kerap memeriksa telefon bimbit bagi menanti panggilan adiknya, Batliyah, 62, yang terpisah sejak 1975. FOTO Zuhainy Zulkiffli
KAK Teh yang ditemui di Sungai Nibong, di sini, kerap memeriksa telefon bimbit bagi menanti panggilan adiknya, Batliyah, 62, yang terpisah sejak 1975. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Semakin rindu, begitu keadaan Che Putih Din, 71, selepas beberapa hari dapat berhubung semula dengan adiknya Batliyah, 62, dan pertama kali bertentang mata menerusi panggilan video pada Khamis lalu.

Che Putih berkata, hampir setiap jam dia memeriksa telefon bimbitnya bagi melihat jika Batliyah ada menelefon atau menghantar pesanan.

Che Putih atau nama panggilannya Kak Teh berkata, selepas 'pertemuan' menerusi panggilan video itu, dia beberapa kali dihubungi Batliyah bagi bercerita mengenai kenangan lalu terutama ketika bersama ibu, Bashah Hassan dan bapa, Din Mohamad.

Che Putih dan Batliyah juga bercadang mahu mencari kakak sulungnya yang dikatakan menjadi penghuni rumah orang tua di Perlis.

"Selepas saya dan Batliyah bertemu nanti, kami mahu ke Perlis bagi mencari kakak sulung yang sudah lama tinggal di rumah orang tua.

"Kami berdoa kakak masih ada di situ dan jika dipanjangkan usia, dapatlah kami adik beradik bertemu semula selepas sekian lama terpisah.

"Saya difahamkan bahawa kakak sulung mempunyai seorang anak namun dia dihantar oleh seorang daripada adik beradik kami ke rumah orang tua berkenaan kerana tidak mampu menjaganya," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini.

Mengulas lanjut Che Putih berkata, anak tunggalnya, Zailan, 39, juga baru mengetahui bahawa ibunya mempunyai adik beradik lain selepas berita mengenai pencarian itu disiarkan dalam Harian Metro, semalam.

Katanya, biarpun terkejut, Zailan tidak mempersoalkan tindakan Che Putih yang merahsiakan perkara itu.

"Sebelum ini saya tidak pernah bercerita mengenainya kerana ia hanya menambah kerinduan dalam diri, syukurlah Zailan juga dapat menerima situasi ini.

"Saya hendak buat pemeriksaan kesihatan selepas Aidilfitri ini, supaya apabila Batliyah datang nanti, kesihatan saya baik-baik saja," katanya yang baru menjalani pembedahan akibat kanser payu dara tahap dua yang dihidapi sejak dua tahun lalu.

Mengenai pertemuannya dengan Batliyah kelak, Che Putih berkata, biarlah ia berlangsung selepas cuti hari raya.

"Batliyah memang hendak datang tapi tiada tiket bas. Saya dan suami, Zakaria Shafee, 82, juga tiada kenderaan untuk ke sana selain uzur dan tidak berdaya bagi perjalanan jauh.

"Jadi saya rasa tidak mengapa jika kami bertemu selepas Hari Raya ini," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan kisah pencarian Che Putih yang menghilangkan diri sejak 1975 selepas permintaannya untuk berkahwin dengan lelaki sudah beristeri ditolak ibu bapanya.

Usaha Batliyah bagi menjejaki Kak Teh mendapat liputan media sehingga membawa kepada penemuannya, Rabu lalu.

Berita berkaitan:

  • Batliyah menangis hingga tak mampu bercakap - Kak Teh [METROTV]
  • Kak Teh akhirnya dapat dijejaki
  • 'Kalau benar Kak Teh, saya tak sabar bertemunya'
  • Pulanglah Kak Teh...
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 11:34 AM