FOTO ihsan bomba
FOTO ihsan bomba
Oleh Asrizal Aris


Bidor: Empat parah dan satu penumpang cedera ringan dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM347.7 Lebuhraya PLUS arah Utara dekat Bidor, pada 1.05 pagi tadi.

Jurucakap bomba negeri berkata, kemalangan berkenaan membabitkan teksi jenis Proton Persona, kereta, Proton Waja dan Proton Satria serta bas persiaran tanpa penumpang.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.07 pagi sebelum sepasukan anggota dan satu jentera tiba di lokasi 15 minit kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian sebahagian mangsa terbabit kemalangan didapati dibantu dan dikeluarkan oleh orang awam.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di hantar ke hospital dengan ambulans yang tiba lokasi kejadian. Anggota bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa dan membuat pemantauan di sekitar kawasan kejadian," katanya.

Menurutnya, identiti mangsa dan punca kemalangan masih dalam siasatan polis.

"Operasi diketuai Pemangku Penyelia Pegawai Bomba, Shahril Musa dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Slim River tamat sekitar 2.26 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 9:22 AM