ASHRAF berkongsi tips bersama peminat mengenai hidup berkeluarga.
ASHRAF berkongsi tips bersama peminat mengenai hidup berkeluarga.
Zaara Talita


MENGINJAK ke usia 41 tahun, aktor Ashraf Muslim bersyukur dirinya masih diberikan amanah untuk menggalas tanggungjawab sebagai hero selain watak utama dalam memeriahkan industri hiburan tanah air.

Enggan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh penerbit dan pengarah, bapa kepada empat cahaya mata itu menjelaskan tidak mempunyai sebarang rahsia atau petua untuk kekal relevan.

"Saya sudah tua, anak pun empat orang manakala isteri pula dua. Tiada rahsia atau petua, cuma saya bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT berikan.

"Saya anggap ini sebagai amanah dan tidak boleh mensia-siakan peluang yang diberikan oleh pihak penerbit atau pengarah. Cuma apabila aktif, kita akan nampak lebih bertenaga.

"Alhamdulillah.saya masih diberikan peluang. Apabila kita sibukkan diri dengan perkara yang berfaedah, dan dalam masa yang sama perlu bijak soal bagaimana hendak menguruskan keluarga," kata Ashraf.

Aktor kelahiran Telok Mas, Melaka itu berkongsi supaya mereka di luar sana tidak lari dari masalah dan hadapi cabaran serta kesulitan dengan senyuman di wajah.

Selain mengamalkan kurma dan madu dalam rutin harian, Ashraf menitik beratkan pengambilan buah-buahan dalam gizi pemakanan.

Tambah Ashraf, bulan Ramadan lazimnya diperuntukkan hampir sepenuh masanya untuk keluarga dan beribadat namun komitmen terhadap kerjaya menukar perancangannya.

"Berbeza dengan tahun sebelum-sebelumnya, saya memilih untuk tidak menerima sebarang tawaran memandangkan kita berada dalam bulan Ramadan. Namun, disebabkan kita memasuki fasa endemik jadi keadaan itu berubah.

"Saya cuba untuk mengelakkan bulan Ramadan namun akur dengan jadual kerja. Apatah lagi, saya sudah bersetuju untuk menjayakan naskah, jadi tidak baik untuk menolak.

ASHRAF sibuk dengan pelbagai aktiviti seni sepanjang Ramadan ini.
ASHRAF sibuk dengan pelbagai aktiviti seni sepanjang Ramadan ini.

"Kadang kala terkejar-kejar juga hendak menunaikan solat terawih. Cuma, tiga minggu terakhir Ramadan ini saya sibuk sedikit dengan jadual kerja," katanya.

Ashraf yang kini menjalani kehidupan bahagia bersama dua isteri, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi berkata, setiap hari ada mesej diterimanya daripada lelaki yang bertanya dan meminta tips panduan daripadanya berkaitan poligami.

"Macam-macam yang ditanyakan. Cuma, ada mesej yang saya jawab dan ada juga tak berkesempatan nak balas. Namun, saya okay saja untuk menjawab.

"Kelaziman tips yang ingin diketahui pastinya membabitkan keharmonian rumah tangga dengan dua pasangan. Begitu juga dalam menjaga hati dan perasaan isteri-isteri," katanya.

Hasil perkongsian hidup Ashraf dengan Noor Dayana, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf, 7.

Bersama Wan Sakinah pula, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 8, Adam Ashraf, 7, dan Safiyyah Ashraf, 3.

Dalam pada itu, Ashraf meluahkan penghargaan untuk sokongan yang diberikan kepada Maahad Tahfiz Alhidayah yang diasaskan olehnya sejak tahun 2011 lagi.

"Alhamdulillah, bermula daripada enam orang pada tahun 2011, sehingga kini jumlah pelajar sudah mencapai 120 orang.

"Sememangnya kami mempunyai perancangan untuk menambah cawangan yayasan, cuma belum ada tempat yang sesuai lagi.

"Oleh itu, buat masa ini kami mencuba sebaik mungkin untuk memperbaiki segala aspek dari segi perkembangan pelajaran dan sebagainya," kata Ashraf.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 6:00 AM