Ashraf bersama isteri,  Noor Dayana (kiri)  dan Wan Sakinah (kanan). FOTO Instagram Ashraf Muslim
Ashraf bersama isteri, Noor Dayana (kiri) dan Wan Sakinah (kanan). FOTO Instagram Ashraf Muslim
Norhayati Nordin


PELAKON Ashraf Muslim, 38, mengakui sebagai ketua keluarga menjadi tanggungjawab suami untuk bijak mendidik isteri, apatah lagi bagi lelaki berpoligami.

Menurut Ashraf, poligami akan jadi indah apabila dikemudi dengan cara yang betul.

"Untuk saya, perkara yang selalu diingatkan kepada isteri-isteri supaya bersangka baik di antara satu sama lain.

"Saling bantu-membantu dan menghormati sesama sendiri, malah, yang paling utama sentiasa menjaga maruah dan nama baik suami.

"Dalam melalui kehidupan poligami, suami sebagai ketua keluarga perlu bijak mendidik isteri-isterinya. Begitu juga kerjasama daripada isteri-isteri," katanya.

Menurut pelakon drama Cinta Hati Batu di TV3 itu, sebagai suami dia juga akan pastikan selalu solat bersama isteri-isteri termasuk menghadiri kelas agama bersama-sama mereka.

"Penting untuk suami membimbing isteri-isteri supaya reda, tenang dan jalani hidup bahagia.

"Selain itu, faktor komunikasi dengan isteri- isteri juga penting untuk merapatkan silaturahim.

"Apa yang pasti, dalam al-Quran sudah diberikan pelbagai petunjuk oleh Allah SWT untuk dijadikan panduan," katanya.

Ashraf pernah mengejutkan industri hiburan tanah air apabila bernikah buat kali kedua dengan wanita pilihannya, Wan Sakinah Ahmad Saburi, 34, di Thailand pada 7 Julai 2013.

Terdahulu, Ashraf bertemu jodoh dengan isteri pertama, Noor Dayana Lokman, 31, dan mereka bernikah di Tanah Suci, Makkah pada 30 Ogos 2011.

Hampir lima tahun melayari kehidupan poligami, Ashraf bersama isteri-isterinya kini dikurniakan tiga cahaya mata. Malah, Ashraf juga dilabel 'ikon poligami' oleh netizen gara-gara status beristeri dua.

Bersama isteri pertama Noor Dayana, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf, 3 dan dengan Wan Sakinah pula memiliki sepasang cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 4, dan Adam Ashraf, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 8:28 PM