DALAM undang-undang tiada istilah bekukan akaun.
DALAM undang-undang tiada istilah bekukan akaun.

'Bergegar' satu Malaysia apabila cadangan pemotongan gaji terhadap individu yang gagal melunaskan tuntutan nafkah kepada bekas isteri dan anak dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ada yang bengang namun ramai yang menyambutnya dengan gembira kerana selama ini ramai lelaki yang culas untuk melunaskan tanggungjawab itu.

Yang merana ialah bekas isteri serta anak.

Namun, adakah wajar akaun bank individu ini dibekukan? Bagaimana pula jika si lelaki ini tidak mampu lagi untuk menjelaskannya akibat kehilangan kerja dan sebagainya?

Pengarang Berita NAZARALI SAERIL mewawancara Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia MUSA AWANG, bagi mengulas isu ini.


Berdasarkan rekod pihak tuan, berapa ramai atau nisbah lelaki yang gagal melunaskan tuntutan nafkah untuk bekas isteri dan anak?

Statistik tepat mungkin boleh diperoleh daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JSKM).

Cuma berdasarkan pengalaman dan observasi saya di lapangan dan berdasarkan kes-kes yang dikendalikan berkaitan nafkah, nisbahnya dua orang bagi setiap 20 orang.


Bekukan akaun bank individu yang gagal melunaskan tuntutan nafkah bekas isteri serta anak. Komen?

Dalam undang-undang tiada istilah bekukan akaun. Dalam undang-undang syariah disebutkan sebagai:

1. menahan harta alih penghutang penghakiman itu yang berada dalam milikan atau kawalan pihak ketiga (muhal 'alaih) atau hutang yang kena dibayar oleh muhal 'alaih kepada penghutang penghakiman berkenaan.

Prosiding itu boleh disebut sebagai prosiding hiwalah; (Seksyen 161 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan) 1998.

Dalam undang-undang, walaupun sesuatu institusi itu bukan pihak-pihak dalam litigasi di mahkamah, jika ia sudah diperintahkan oleh mahkamah untuk melaksanakan sesuatu, ia juga terikat untuk mematuhinya.

Seksyen 153 Akta di atas menyatakan "(1) Mana-mana orang, yang bukan pihak dalam sesuatu kausa atau perkara, yang mendapat suatu perintah atau yang bagi faedahnya suatu perintah dibuat, berhak menguatkuasakan pematuhan perintah itu melalui proses yang sama seolah-olah dia ialah pihak dalam kausa atau perkara berkenaan."

Ia juga boleh dikenakan proses yang sama bagi menguatkuasakan pematuhan penghakiman atau perintah itu seolah-olah dia ialah pihak dalam kausa atau perkara itu.


Potong gaji bagi mengelakkan individu berkaitan culas menjelaskan nafkah bekas isteri serta anak. Komen?

Ia boleh dilakukan kerana terdapat peruntukan undang-undang untuk melaksanakannya.

Namun daripada segi amalan, pemotongan gaji biasanya akan dibuat pada langkah kedua atau langkah ketiga iaitu bila mana suatu perintah pembayaran telah dikeluarkan, tidak dipatuhi, maka pihak yang sepatutnya menerima bayaran itu boleh memohon semula kepada mahkamah supaya pembayaran dibuat dengan cara potongan gaji.


Adakah pemotongan gaji ini boleh dilakukan membabitkan mana-mana agensi kerajaan atau swasta dan adakah ia boleh dilakukan serta merta?

Boleh. Sebagaimana disebutkan walaupun sesuatu institusi itu bukan pihak-pihak dalam litigasi di mahkamah, jika ia sudah diperintahkan oleh mahkamah untuk melaksanakan sesuatu, ia juga terikat untuk mematuhiya. Seksyen 153 Akta di atas menyatakan;

"(1) Mana-mana orang, yang bukan pihak dalam sesuatu kausa atau perkara, yang mendapat suatu perintah atau yang bagi faedahnya suatu perintah dibuat, berhak menguatkuasakan pematuhan perintah itu melalui proses yang sama seolah-olah dia ialah pihak dalam kausa atau perkara itu."

Agensi berkaitan juga boleh dikenakan proses yang sama bagi menguatkuasakan pematuhan penghakiman atau perintah itu seolah-olah dia ialah pihak dalam kausa atau perkara itu.

Maksudnya, agensi itu juga boleh dikeluarkan perintah pengkomitan dan tunjuk sebab kenapa tidak boleh dipenjarakan kerana melanggar perintah mahkamah.


Ada pihak mengatakan cadangan ini lebih memihak kepada wanita.

Ia nampak lebih memihak kepada wanita kerana sebahagian besarnya wanita yang menjaga anak selepas berlaku perceraian.

Wanita jugalah yang turut naik mahkamah membuat tuntutan untuk nafkah anak-anak di bawah umur 18 tahun.

Wanita jugalah yang terpaksa berkerja untuk menanggung anak-anak di bawah jagaannya (jika bekas suami tidak memberikan nafkah).


Ramai lelaki yang tidak culas membayar tuntutan nafkah kepada bekas isteri serta anak namun ada kalanya mereka juga gagal melangsaikannya mengikut masa atau tidak dapat melakukannya untuk tempoh tertentu akibat masalah kewangan. Adakah adil akaun bank mereka disekat begitu saja sedangkan mereka memiliki rekod pembayaran nafkah yang baik sebelum itu?

Apabila telah ada perintah mahkamah untuk bayaran nafkah mengikut kadar tertentu, jika cuai membayarnya mengikut yang diperintahkan, mana ia akan menjadi hutang ke atas bapa.

Hutang mesti dijelaskan walaupun sebanyak mana ia tertunggak.

Malah hutang boleh dituntut dalam harta pusaka si bapa jika dia meninggal dunia.

Hutang yang tidak tertulis pun masih tetap hutang. Inikan pula hutang yang telah tertulis sebagaimana yang tercatat dalam perintah mahkamah.

Apabila tindakan penguatkuasaan nafkah sudah difailkan ke mahkamah, bukan semestinya mahkamah terus memerintahkan akaun bank mereka disekat.

Mahkamah akan memberi peluang kepada bapa untuk menjawab dan membela diri kenapa dia tidak membayar jumlah amaun sebagaimana yang diperintahkan.

Jika alasan yang diberikan oleh bekas suami munasabah, mahkamah akan mempertimbangkan bayaran tunggakan nafkah itu dibuat secara ansuran atau secara portion tertentu.

Namun tidak bermaksud nafkah semasa yang diperintahkan itu boleh diabaikan.


Bagaimana mahu mengelakkan ketidakadilan kepada lelaki jika cadangan ini diimplementasi?

Di mahkamah, setiap orang diberi hak sama rata dan adil.

Mereka boleh mengemukakan keterangan dan bukti-bukti bayaran yang telah dibuat, kenapa tidak dilunaskan sepenuhnya, apakah komitmen semasanya dan sebagainya.

Jika bekas suami telah dipanggil ke mahkamah untuk mengemukakan pembelaan dan disiasat tentang keupayaannya dan dia tidak hadir ke mahkamah, maka kita tidak boleh kata itu tidak adil.

Mereka sendiri yang memilih untuk tidak hadir dan mengemukakan pembelaannya.


Secara keseluruhan, adakah cadangan pembekuan akaun ini boleh menyelesaikan isu kegagalan individu berkaitan melunaskan bayaran tuntutan nafkah bekas isteri serta anak?

Cadangan ini baik dan sudah sedia ada peruntukan undang-undang yang berkaitan dengannya.

Cuma apa yang tinggal adalah bagaimana cara kita untuk melaksanakannya.

Kena lihat juga kekurangan infrastruktur di pihak penguatkuasaan, terutama kekurangan kakitangan mahkamah seperti bailif yang akan mengambil tindakan penguatkuasaan perintah.

Banyak perkara yang perlu dibincangkan dan diselesaikan.

Cetusan idea Perdana Menteri ini tidak boleh terhenti begitu sahaja, tetapi perlu disusuli dengan tindakan lanjut, dan melihat satu-persatu apakah kelemahan yang ada, dan mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan.

Sebagai pengamal undang-undang syariah, kami juga bertanggungjawab dan ingin melihat keadilan dapat ditegakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 12:06 PM