Dalam proses perceraian, kami datang ke pejabat agama dan memohon perceraian dengan cara baik.

Saya ada meminta bekas suami untuk menceraikan saya tetapi saya tidak menuntut nafkah anak. Apabila tiba waktu perceraian, bekas suami tidak hadir ke mahkamah.

Kesudahannya, saya melafazkannya sendiri dengan membayar RM1.

Bekas suami tahu mengenai perkara ini dan sehingga sekarang hampir 20 tahun tetapi tiada apa-apa maklum balas diterima.

Soalan saya, bolehkah saya menuntut nafkah untuk anak saya itu dan bagaimana cara untuk menuntutnya.

Nurr

Johor Bahru

Berhubung perceraian yang berlaku tanpa kehadiran suami puan 20 tahun lalu, ia adalah perceraian secara tebus talak kerana puan sudah menjelaskan bayaran RM1 bagi mendapatkan talaq ke atas diri puan.

Mengikut prosedur Mahkamah Syariah, bekas suami puan akan diserahkan satu salinan Perintah Perceraian ke alamat yang diberi semasa pendaftaran kes.

Jika tiada maklum balas daripada bekas suami selama tempoh tertentu dan tiada sebarang bantahan yang timbul di pihak beliau berhubung perceraian, maka perintah perceraian itu adalah kekal sebagaimana yang diperintahkan.

Secara umumnya, perjanjian persetujuan yang dicapai puan dengan suami semasa sebelum berlakunya perceraian adalah suatu persetujuan bersama yang belum direkodkan mahkamah.

Oleh itu, perjanjian persetujuan itu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang. Ia juga tidak menggugurkan hak puan bagi menuntut nafkah anak.

Prinsip ini sudah digazetkan melalui Arahan Amalan Mahkamah Syariah No 15 Tahun 2005 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Justeru, puan boleh membuat tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah yang berkenaan.

* Nafkah anak

Mahkamah Syariah boleh memerintahkan seorang bapa membayar nafkah kepada anak. Keengganan dan kecuaian bapa akan memudaratkan keadaan anak itu memandangkan nafkah anak adalah perkara fardu yang diwajibkan ke atas bapa.

Selain itu, undang-undang dan hukum syarak juga mewajibkan penafkahan ke atas anak untuk faedahnya dan boleh mencagarkan apa-apa harta milik bapa supaya membayar nafkah.

Tuntutan untuk nafkah anak yang hendak dimohon hendaklah dalam kadar yang munasabah dan memenuhi keperluan semasa anak yang semakin meningkat dewasa.

Wajib ke atas bapa untuk membiayai atau melaksanakan nafkah anak itu kerana anak itu adalah darah daging bapa dan tidak seharusnya membebankan bekas isteri untuk menguruskan anak itu sendirian.

Ahli Fuqaha' berpendapat, nafkah keluarga terutama untuk anak-anak adalah wajib sekadar mencukupi keperluan mengikut taraf keadaan orang yang wajib membiayai nafkah dan kadar adat kebiasaan sesebuah negeri.

Penyediaan tempat tinggal juga adalah tanggungjawab bapa kerana ia termasuk dalam nafkah anak itu selain nafkah sampingan yang merangkumi makan minum, bil air, bil elektrik, keselamatan, perlindungan, kebajikan dan pendidikan anak itu. Ini sudah dijelaskan dalam hadis Nabi SAW bermaksud: "Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (nafkah) yang diberikan itu adalah sedekah."

Puan dicadangkan membuat tuntutan nafkah anak sebagaimana berikut:

* Pastikan tempat permastautinan atau tempat tinggal

Tempat bermastautin atau tempat tinggal adalah penting bagi menentukan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang boleh mendengar permohonan puan. Lazimnya, mahkamah akan melihat kepada alamat yang tertera di kad pengenalan puan sebagai panduan. Jika, tempat tinggal puan berbeza dengan alamat dalam kad pengenalan, maka puan perlu mendapatkan pengesahan permastautinan anak kariah dari kawasan kariah tempat tinggal puan bagi puan meneruskan tuntutan puan di Mahkamah Syariah berkenaan.

* Memfailkan saman dan penyata tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah

Sekiranya sudah dipastikan Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa mendengar permohonan puan, puan perlu memfailkan Saman dan Penyata Tuntutan Nafkah Anak di Mahkamah itu. Lazimnya, mahkamah akan menyediakan borang 'standard' sebagai panduan. Puan bolehlah mengisi atau menaip semula maklumat yang diperlukan dan memastikan alamat bekas suami boleh dihubungi dan disampaikan saman dan apa-apa notis mahkamah.

Sekiranya puan gagal mendapatkan alamat bekas suami puan, ia akan memberi kesan terhadap pelaksanaan Perintah Nafkah Anak yang bakal puan peroleh. Puan juga dinasihatkan untuk bersedia dengan butiran diri bekas suami serta nombor telefon yang boleh dihubungi sepanjang kes puan berjalan di mahkamah.

* Penyediaan dokumen sokongan

Ketika memfailkan tuntutan nafkah anak di mahkamah, puan dinasihatkan untuk menyediakan dokumen yang diperlukan seperti kad pengenalan puan, surat cerai, surat beranak anak-anak atau kad pengenalan anak-anak. Sebagai tambahan, sediakan bukti perbelanjaan dan keperluan anak-anak yang perlu ditanggung bekas suami serta bukti kemampuan bekas suami. Ini memudahkan mahkamah sewaktu mendengar kes puan dan membantu mahkamah mempertimbangkan permohonan puan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:00 AM