AINA gigih berusaha raih banyak kejayaan dalam industri seni bersama pasukan AAE.
AINA gigih berusaha raih banyak kejayaan dalam industri seni bersama pasukan AAE.
Najiy Jefri


MELEDAK menerusi lagu Semalam dan Sepi, Aina Abdul nyata berjaya membuktikan kehadirannya masih utuh hingga hari ini.

Terbaharu, pentas Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) menjadi saksi keunggulan Aina apabila memenangi trofi Vokal Terbaik menerusi lagu Sepi dendangan dan ciptaannya.

Walaupun perjalanan yang dilalui untuk menempa nama sebelum ini tidak meluncur dengan mudah, namun wanita kelahiran Negeri Sembilan ini tetap gigih berusaha supaya setiap karya yang diketengahkan berjaya memenangi hati pendengar.

Bagi penyanyi berusia 28 tahun ini, dia bersyukur apabila segala hasil penat lelah yang diperjuangkan dibayar dengan kemenangan dan penghargaan, namun masih ada impian besar yang ingin digenggam.

"Jauh di sudut hati, saya masih teringin nak 'merasa' nombor satu di pentas AJL memandangkan saya membesar dengan menyaksikan program ini saban tahun.

"Bagaimanapun, semakin lama dalam industri muzik, apa yang saya nak capai bukan sekadar kemenangan, tapi saya nak capai kejayaan sepanjang membina kerjaya bersama Aina Abdul Entertainment (AAE).

"Saya nak pergi lebih jauh dan ingin raih macam-macam lagi dalam bidang ini bersama pasukan saya di AAE. Saya kini ibarat sedang membina satu empayar yang bukan hanya untuk diri saya seorang, tapi orang-orang di belakang saya.

"Saya sedar kejayaan tidak akan berhasil tanpa sebarang usaha, jadi saya berusaha ke arah itu dan berharap mampu memiliki apa yang saya impikan dalam tempoh lima hingga 10 tahun nanti," katanya.

WALAUPUN penyanyi bersilih ganti, Aina masih tetap unggul dan berjaya menempatkan diri.
WALAUPUN penyanyi bersilih ganti, Aina masih tetap unggul dan berjaya menempatkan diri.

Kemenangan Aina menerusi trofi Vokal Terbaik membawa pulang wang tunai RM12,000, manakala bagi kategori Anugerah Penyanyi Popular AJL bersama Khai, mereka menerima wang tunai RM5,000.

Selepas kejayaan yang dikecapi di pentas AJL, Aina mengakui fokusnya kini adalah untuk membuat persiapan mengadakan konsert atau persembahan berskala besar tahun ini.

"Sekarang ini saya membuat persiapan akhir untuk melancarkan single ketuhanan berjudul Cahayamu serta lagu raya tak lama lagi.

"Kemudian saya juga fokus untuk mengadakan sebuah konsert atau 'showcase' tahun ini. Kali ini saya bercadang untuk adakan konsert yang berskala besar. Doakan supaya segala impian ini berjalan lancar,"katanya.

Ditanya mengenai single seterusnya yang dirasakan mampu menandangi kejayaan Sepi dan Semalam, Aina berkata, lagu terbabit sudah ada dalam simpanannya, namun akan melakukan beberapa penambahbaikan sebelum diperdengarkan kepada peminat.

"Single baharu saya tak boleh nak dedahkan sekarang, tapi saya sudah ambil beberapa maklum balas yang diberikan selepas final AJL tempoh hari.

"Jadi, saya akan perbaiki single seterusnya ini dengan lebih baik dan tengok bahagian mana yang boleh diubah supaya memberi satu impak baharu.

"Sebolehnya saya nak single seterusnya ini ada perubahan. Tak nak setiap tahun genre yang sama saja. Jadi, doakan saya dapat ilham itu untuk beri kelainan kepada peminat," katanya.

AINA menjulang trofi Vokal Terbaik di AJL36.
AINA menjulang trofi Vokal Terbaik di AJL36.

Mendambakan setiap single yang dilancarkan mampu menjadi sebuah lagu yang malar segar seperti lagu nyanyian penghibur tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Ziana Zain, Aina berkata, dia juga berharap lagu ciptaannya mampu menjadi siulan.

"Saya percaya dengan setiap lagu yang saya keluarkan. Insya-Allah lagu yang saya ketengahkan akan menjadi siualan orang ramai untuk tempoh yang panjang.

"Ini kerana setiap kali menulis lagu saya banyak belajar daripada penyanyi seperti Misha, Ziana dan Datuk Siti. Harapnya lagu yang saya bawakan akan terus menjadi siulan ramai," katanya.

Beralih mengenai busana yang digayakan ketika di AJL36 dijadikan parodi oleh peminat di media sosial, Aina berkata, dia melihat perkara itu daripada sudut yang positif.

"Ini adalah momen yang paling saya nanti-nantikan setiap kali tampil berbeza pada acara persembahan. Bagi saya, apabila peminat parodikan busana yang digayakan, maka ada maklum balas daripada peminat.

"Saya suka melihat respons seperti ini daripada orang tidak bercakap apa-apa. Walaupun ia sesuatu yang buruk atau baik, tapi masih ada maklum balas terhadap fesyen yang digayakan," katanya.

Terdahulu, Aina tampil dengan gaya ala 'pokok bunga' dan trofi keemasan berprestij 'Grammy' pada AJL36.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 6:00 AM