KUMPULAN pemancing berdoa di bot. FOTO FB Akmal Hafizal
KUMPULAN pemancing berdoa di bot. FOTO FB Akmal Hafizal
Samadi Ahmad dan Ahmad Hasbi


Kuala Lumpur: Salah seorang mangsa yang dipercayai terbabit dalam kejadian bot karam dipercayai akibat dipukul ribut pada kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi, Kedah, hari ini, sempat memuatnaik gambarnya di Facebook (FB).

Gambar serta video itu dimuatnaik di akaun FB Akmal Hafizal dua hari lalu.

Lelaki itu turut memuatnaik kapsyen yang meminta rakannya mendoakan semoga urusannya dipermudahkan dan dimurahkan rezeki.

"Bismillah..... moga dipermudahkan urusan kami semua dan dimurahkan rezeki kami....," katanya.

Dalam video yang dimuatnaik memaparkan sekumpulan lelaki sedang berdoa di sebuah bot nelayan dipercayai sebelum bertolak untuk memancing.

Terdapat juga gambar lelaki berkenaan yang memakai baju putih sambil memegang joran.

Sementara itu, satu lagi akaun yang menggunakan nama Gee Jawi dipercayai abang kepada Akmal Hafizal turut memuatnaik kenyataan di FB memohon mendoakan adiknya itu.

"Mohon semua doakan adik saya Akmal Hafizal serta semua pemancing dan kru yang lain selamat. Usaha pencarian masih diteruskan oleh pihak Maritim Malaysia, polis marin dan juga bot pemancing dari Langkawi.

"Sama-samalah kita berdoa agar mereka semua ditemui dalam keadaan yang selamat," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 14 pemancing dan empat kru dilaporkan hilang kira-kira jam 2 petang berhampiran Pulau Beras Basah.

Semua mangsa diselamatkan bot nelayan dan ketika ini Kapal KM Tenggol dan Bot Penyelamat 5 milik Maritim Malaysia dalam perjalanan ke lokasi bot nelayan terbabit.

Berita berkaitan

14 pemancing, 4 kru diselamatkan nelayan

14 pemancing, 4 kru bot hilang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 10:01 PM