Agensi

Colombo: Seorang lelaki di Sri Lanka yang asyik bermain layang-layang nyaris maut diterbangkan selepas bergayut beberapa meter (m) dari tanah.

Kejadian berlaku di Point Pedro di Jaffna, apabila lelaki itu, Nadarasa Manoharan diterbangkan hampir 10m ke udara.

Dia sebelum itu cuba mencapai tali layang-layang berkenaan namun diterbangkan selepas angin kuat.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika permainan itu berlangsung, terdapat enam lelaki yang sedang mengikat tali pada layang-layang.

Ketika layang-layang itu mula terbang, mangsa masih memegang tali sebelum dibawa angin kuat.

Ia berlaku sekelip mata menyebabkan lelaki terbabit tergantung pada ketinggian hampir 10m.

Ketika kejadian itu, rakannya mula menjerit dengan panik memintanya melepaskan pegangan pada tali, sebelum layang-layang itu terbang lebih tinggi.

Aksi lelaki itu sempat dirakam kamera ketika dia bergelut untuk cuba menyelamatkan nyawa dengan kejadian itu dianggarkan berlaku kira-kira seminit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 6:30 AM