PANG Ngau, 63, tinggal sehelai sepinggang apabila  kedainya  di Kampung Baru Karak terbakar, malam tadi. FOTO  Roselan Ab Malek
PANG Ngau, 63, tinggal sehelai sepinggang apabila kedainya di Kampung Baru Karak terbakar, malam tadi. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Bentong: "Saya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan panggilan memaklumkan kedai terbakar menyebabkan saya terus berlari ke premis yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan saya," kata Chan Wing Hua, 40.

Chan adalah seorang daripada lapan pemilik kedai yang musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Cina Karak, dekat ini, malam tadi.

Chan berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia melihat dua kedai berhampiran sudah marak terbakar dan cuba membuka kedai untuk menyelamatkan barangan perniagaan seperti tayar, bateri dan minyak hitam.

Namun, katanya, dia hanya mampu mengeluarkan beberapa tayar kerana api semakin marak dan mulai membakar kedainya.

HO melihat kedainya yang musnah dalam kebakaran termasuk semua peralatan kedai makan. FOTO Roselan Ab Malek
HO melihat kedainya yang musnah dalam kebakaran termasuk semua peralatan kedai makan. FOTO Roselan Ab Malek

Seorang lagi peniaga, Ho Seng Leng, 39, berkata, dia yang tidur di tingkat atas kedainya terjaga selepas mendengar jeritan memaklumkan ada kedai terbakar pada 9.15 malam.

"Saya terus bangun dan turun untuk meninjau keadaan, saya lihat api sudah merebak ke beberapa kedai dan mula menghampiri kedai saya.

"Saya tidak dapat berbuat apa kerana apa merebak dengan cepat. Semua peralatan perniagaan membuat pau hangus dalam kebakaran itu.

"Kedai kayu ini berusia lebih 60 tahun yang diwarisi daripada ayah termasuk perniagaan menjual pau," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihak bomba dan polis tiba di lokasi kejadian pada 9.20 malam.

Katanya ,pihak bomba berjaya mengawal api sepenuhnya lebih kurang jam 12.05 malam.

Beliau berkata, pihak polis melalui Ketua Polis Balai Karak akan membantu penduduk terbabit dalam proses membuat laporan polis.

Berita berkaitan:

  • 48 rumah, 8 kedai terbakar [METROTV]

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 3:34 PM