AHLI keluarga mendesak jenazah seorang wanita tidak dikebumikan mengikut protokol Covid-19.
AHLI keluarga mendesak jenazah seorang wanita tidak dikebumikan mengikut protokol Covid-19.
Agensi

Surabaya: Upacara pengebumian pesakit Covid-19 di Probolinggo, Jawa Timur bertukar kecoh apabila keluarga enggan mengebumikan jenazah seorang wanita mengikut protokol kesihatan.

Video kejadian itu kemudiannya tular di media sosial di Indonesia, beberapa hari lalu.

Kejadian berpunca selepas keluarga enggan mengebumikan jenazah seperti ditetapkan petugas kesihatan walaupun pada mulanya sudah bersetuju untuk berbuat demikian.

Menerusi rakaman video itu, jenazah terpaksa dikeluarkan daripada keranda selepas didesak oleh beberapa ahli keluarga.

Individu terbabit kemudian memasukkan jenazah ke dalam liang lahat walaupun ia melanggar prosedur pengebumian pesakit Covid-19.

Ketua Undang-Undang Pengurusan Covid-19, Ugas Irwanto berkata, wanita itu pada mulanya dirawat di Hospital Tongas.

Pesakit mengalami simptom seperti sesak nafas, batuk dan demam sebelum ujian saringan dijalankan.

Wanita itu kemudiannya disahkan mengidap Covid-19 dan keadaannya semakin kritikal sehingga meninggal dunia pada Ahad lalu.

"Keluarga pesakit pada mulanya setuju pengebumian dibuat mengikut protokol kesihatan.

"Namun, ketika proses pengebumian dijalankan, beberapa ahli keluarga membantah dan memaksa jenazah dikeluarkan dari keranda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:30 AM