WALAUPUN terjejas akibat pandemik Covid-19, Izzue bersyukur rezeki masih ada buatnya.
WALAUPUN terjejas akibat pandemik Covid-19, Izzue bersyukur rezeki masih ada buatnya.
Najiy Jefri


BIDANG industri kreatif tanah air antara yang terjejas teruk susulan penularan Covid-19 sejak awal tahun lalu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelakon Izzue Islam berkata, dia rindu untuk kembali memeriahkan industri lakonan selepas beberapa bulan penggambaran drama terpaksa dihentikan.

Bagaimanapun, dia terpaksa akur dengan keputusan kerajaan ketika ini bagi memastikan kes jangkitan positif Covid-19 semakin menurun.

"Tipulah kalau tak rindu. Saya sangat rindu sebab kerjaya ini adalah sumber utama saya. Tapi kita sebagai pelakon kena akur yang keadaan sekarang tidak mengizinkan dan tidak boleh melakukan sebarang aktiviti penggambaran.

"Bukan saja industri kreatif, tapi banyak sektor yang terjejas demi melandaikan kes jangkitan positif Covid-19," katanya.

Menurut Izzue, sebagai rakyat Malaysia kita tidak boleh pentingkan diri sendiri dalam keadaan getir ini sebaliknya perlu bersatu untuk berdepan pandemik ini.

"Ini bukan soal satu nyawa saja, sebaliknya seluruh dunia sedang berdepan ujian yang cukup mencabar ini.

"Jadi saya harap kita semua jangan pentingkan diri, menyebarkan maklumat yang tidak tepat atau menuding jari mencari salah mana-mana pihak. Saya percaya jika kita semua sepakat dalam usaha mengekang Covid-19, insya-Allah fasa ini akan beransur pulih," katanya.

IZZUE Islam teringin ke set penggambaran, tunggu masa sesuai untuk jalani IVF.
IZZUE Islam teringin ke set penggambaran, tunggu masa sesuai untuk jalani IVF.

IZZUE dan Awin giat mengusahakan produk sendiri.
IZZUE dan Awin giat mengusahakan produk sendiri.

Izzue juga tidak menafikan perniagaan yang diusahakan ada pasang surut kerana situasi semasa.

Sepanjang tempoh mencabar ini, Izzue dan isteri, Awin Nurin turut berikhtiar mencari pendapatan sampingan.

"Saya faham ramai yang terkesan termasuk cuba mencari pelbagai alternatif lain demi sesuap nasi. Begitu juga dengan saya. Sekarang saya dan Awin memang fokus pada perniagaan dalam talian Lookalike sebab kita juga jual pembasmi kuman.

"Tambahan pula, saya juga adalah duta pelitup muka sebuah jenama. Jadi banyak juga perkongsian dalam talian mengenai kepentingan memakai pelitup muka. Dalam masa sama, saya juga terbabit dalam sebuah program dalam talian yang dipancarkan menerusi Facebook," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan untuk memiliki cahaya mata, Izzue dan isteri percaya dengan rezeki dan ketentuan Ilahi.

"Sejujurnya ramai yang sedia maklum mengenai perancangan kami untuk melakukan rawatan kesuburan persenyawaan luar rahim atau in-vitro (IVF), namun semuanya bergantung kepada keadaan.

"Saya mohon semua untuk mendoakan yang baik-baik. Perancangan itu ada cuma mengenangkan keadaan semasa yang tidak menentu ketika ini, saya kena fikir sebaiknya.

"Insya-Allah sekiranya ada rezeki kami tidak menolak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 6:00 AM