LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam.
LAPORAN muka depan Harian Metro, semalam.
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Prosedur intubasi bukan salah satu kaedah rawatan yang memudaratkan sebaliknya bertujuan membantu pesakit yang mengalami masalah pernafasan.

Pakar Anestesiologi dan Rawatan Rapi serta Presiden Kolej Anestesiologi, Akademi Perubatan Malaysia, Datuk Dr Jahizah Hassan berkata, persepsi segelintir masyarakat mengaitkan prosedur intubasi dengan kematian juga tidak benar kerana dianggarkan 60 peratus pesakit kembali pulih jika mendapat bantuan pernafasan dan perawatan awal.

Menurutnya, prosedur intubasi juga bukan dilakukan pada saat akhir kerana memerlukan perancangan awal termasuk pegawai perubatan dan petugas kesihatan terbabit perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap.

Katanya, kebarangkalian pegawai perubatan dan petugas kesihatan mendapat jangkitan daripada pesakit juga tinggi berikutan jarak dekat dengan saluran penafasan pesakit semasa mengendalikan prosedur berkenaan.

"Tiada pegawai perubatan atau petugas kesihatan yang mahu atau dengan sengaja menjalankan prosedur intubasi kepada pesakit kerana ia turut meletakkan diri mereka dalam bahaya.

"Bagaimanapun kita tidak dapat menolak bahawa prosedur intubasi kaedah perawatan terakhir untuk membantu pesakit supaya tidak berada pada tahap kritikal dan terus menderita kerana kesukaran bernafas.

"Selain memaklumkan keluarga pesakit, pegawai perubatan dan petugas kesihatan perlu bersiap sedia sebelum menjalankan prosedur antaranya memakai PPE sebelum ke peringkat berikutnya iaitu memberi ubat bagi menidurkan pesakit yang lazimya tidak sedar 60 hingga 90 saat selepas itu," katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Dr Jahizah berkata, prosedur intubasi tidak dilakukan ketika pesakit sedar kerana tiub akan dimasukkan ke saluran trakea atau kerongkong ketika mereka ditidurkan.

Katanya, tiada tempoh minimum dan maksimum prosedur intubasi atau jangkaan bila pesakit akan sedar kerana ia bergantung kepada keadaan individu.

"Bagaimanapun pesakit tidak hanya bergantung kepada mesin ventilator sahaja sepanjang tempoh intubasi kerana turut diberi ubat atau perawatan lain misalnya dialisis bagi yang mengalami masalah kegagalan fungsi buah pinggang.

"Ini bermakna rawatan lain tetap berjalan serentak dalam tempoh intubasi.

"Prosedur intubasi membantu memberi bantuan pernafasan kepada pesakit kerana ketika sakit, seseorang itu sukar bernafas dengan sempurna dan akhirnya oksigen tidak sampai ke jantung dan otak hingga tidak sedarkan diri," katanya.

Menurut Dr Jahizah, perasaan paranoid atau fobia segelintir masyarakat terhadap prosedur intubasi mungkin timbul kerana mereka tidak mengetahui kisah pesakit yang kembali sembuh selepas menjalani rawatan berkenaan.

Justeru, katanya, menjadi tanggungjawab setiap pegawai perubatan dan petugas kesihatan untuk memberi penerangan mengenai prosedur itu bagi memberi kefahaman kepada keluarga pesakit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:01 AM