AMIRA mengakui tidak fobia dalam soal percintaan.
AMIRA mengakui tidak fobia dalam soal percintaan.
Najiy Jefri


SEPANJANG penyanyi Amira Othman memahat bakatnya dalam industri seni tanah air tidak banyak cerita cinta yang dikongsikan wanita jelita berusia 28 tahun itu.

Memiliki alasan tersendiri untuk setiap perkara yang ingin diluahkan kepada umum, Amira juga dilihat antara selebriti yang bersih tanpa sebarang gosip cinta dan kontroversi.

Mengakui hatinya belum dimiliki sesiapa, Amira bagaimanapun enggan terburu-buru dalam soal jodoh.

"Sekarang ini saya selesa berkawan dengan sesiapa saja yang sudi berkawan.

"Saya tidak mahu terburu-buru memikirkan soal cinta atau jodoh kerana tumpuan saya ketika ini diberikan kepada kerjaya seni.

"Lagipun dalam waktu yang sukar seperti ini saya perlu memikirkan cara terbaik untuk teruskan kehidupan dan bekerja," katanya.

Sengaja bertanyakan soalan adakah dia fobia dalam melayari hubungan percintaan, Amira dengan pantas menjawab dirinya tiada alasan untuk berasa fobia atau takut bercinta.

"Saya tak pernah rasa fobia dalam setiap perhubungan yang pernah saya lalui sebelum ini.

"Bagi saya, kalau hubungan itu tidak menjadi maknanya ada hikmah disebaliknya.

"Saya tiada sebab untuk rasa fobia kerana soal cinta ini, semua orang laluinya dan punya cerita yang tersendiri," katanya.

Bagi Amira, dia masih berpegang pada prinsip hidupnya untuk tidak menghebahkan siapa individu yang bertakhta di hatinya selagi hubungan itu belum kuat.

"Hal berkaitan peribadi biar saya simpan sendiri dulu. Saya tak suka nak hebohkan kecuali hubungan itu benar-benar kuat dan melangkah ke fasa seterusnya.

"Buat masa ini, saya selesa dengan kehidupan solo kerana banyak hal yang perlu saya buat dulu untuk terus berjaya dalam bidang seni," katanya.

AMIRA kini aktif mempromosikan single terbaharunya berjudul Surat Akhir.
AMIRA kini aktif mempromosikan single terbaharunya berjudul Surat Akhir.

Pendapatan terkesan

Hampir setahun tiada tawaran nyanyian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 , Amira mengakui terkesan kerana bergantung dengan bayaran untuk sesuatu projek sebelum ini.

Namun, Amira mengambil pendekatan untuk sentiasa berfikiran positif bagi mengelakkan perkara itu menghantui kehidupan sehariannya.

"Tidak dinafikan memang agak terkesan, tapi saya perlu terus bergerak dan fokus kepada rezeki lain seperti menerima tawaran kempen produk di media sosial.

"Alhamdulillah syarikat pengurusan juga banyak membantu dalam mencari tawaran kempen, jadi sedikit sebanyak dapat membantu saya menambah pendapatan," katanya.

Tambah Amira lagi, dia juga kini dalam proses untuk menceburi bidang perniagaan memandangkan mempunyai permintaan ke arah itu.

"Saya ada terfikir untuk membabitkan diri dalam perniagaan, tapi semuanya masih dalam perancangan awal.

"Bagi saya, selagi tak mulakan selagi itu kita takut untuk mencuba sesuatu yang baharu. Lagipun perniagaan ini dikira satu percaturan yang perlu diambil dengan berani.

"Saya kini dalam proses mencari perniagaan yang bersesuaian dengan saya," katanya.

Paranoid nak keluar rumah

Sejak angka kes positif Covid-19 mencatatkan peningkatan yang mendadak tinggi, Amira mengakui sedikit fobia dan paranoid untuk keluar rumah.

Kata Amira, dia sanggup membeli barang keperluan asas menerusi platform 'online' bagi mengelakkan dirinya bertemu ramai orang.

"Selagi belum dapat dos kedua vaksin, saya masih berasa takut dan tidak selamat.

"Saya kini beli barangan dapur pun menerusi platofrm 'online'. Saya memang agak paranoid untuk keluar rumah sekarang.

"Saya tunggu dos kedua dulu, kemudian mungkin ada sedikit keberanian untuk saya keluar bertemu orang atau membabitkan diri dengan aktiviti sukarelawan," katanya.

Dalam pada itu, Amira juga masih aktif mempromosikan single terbaharunya berjudul Surat Akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:00 AM