BERNAMA

Kuala Lumpur: Hanya 17 sektor perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown' yang berkuat kuasa bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 17 sektor itu merangkumi makanan dan minuman (termasuk untuk haiwan); penjagaan kesihatan dan perubatan (termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar); air, tenaga; keselamatan (pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan) serta pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan pembentungan.

Sektor lain ialah pengangkutan (darat, air atau udara); perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang (termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo, penyimpanan atau pemukalan komoditi); komunikasi (media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran bagi tujuan penyampaian maklumat).

"Juga sektor perbankan insurans, takaful dan pasaran modal; kredit komuniti (pajak gadai dan Ar-Rahnu); e-dagang dan teknologi maklumat; pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir; hotel dan penginapan (hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan).

"Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal; perkhidmatan perhutanan (terhad kepada penguatkuasaan) dan hidupan liar serta logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu," katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di sini hari ini.

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi isyarat bagus semasa pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. FOTO Bernama
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi isyarat bagus semasa pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 6:16 PM