SALEHA jadi peguam subahat kerja haram dalam Scammer, belajar banyak perkara baharu.
SALEHA jadi peguam subahat kerja haram dalam Scammer, belajar banyak perkara baharu.
Najiy Jefri


PERJALANAN karier seni Siti Saleha terus membuahkan hasil lumayan apabila dihujani tawaran demi tawaran.

Namanya masih menjadi sebutan, sekali gus berjaya mengumpul kelompok peminat tersendiri.

Melihat kepada graf kerjayanya, Saleha sentiasa diberi peluang untuk mewarnakan bakat seni yang dimiliki dalam kebanyakan telefilem, drama dan filem yang dibintanginya. Malah kredibilitinya sebagai pelakon terbukti apabila memenangi beberapa anugerah.

Terbaharu, Saleha diberikan cabaran membawakan watak antagonis yang cukup licik dalam drama bersiri berjudul Scammer.

Menceritakan mengenai drama berkenaan, Saleha menjelaskan kali ini dia membawa watak seorang peguam bernama Amy yang turut bersubahat memindahkan wang pelanggannya dengan kaedah 'cuci duit'.

Menurut Saleha, dia tertarik membintangi drama berkenaan kerana tidak pernah membawakan watak sebegitu sebelum ini.

"Saya tahu peminat akan buat perbandingan dengan watak lakonan saya sebelum ini terutama Mia dalam drama 7 Hari Mencintaiku.

"Watak Amy ini memang sangat berlainan sebab itu masa saya dapat skrip, saya setuju terima kerana ia watak antagonis.

"Setiap karya yang saya bintangi saya cuba untuk tidak mengambil tawaran watak yang sama dalam satu tahun. Saya akan cuba bawa watak yang berlainan setiap tahun," katanya.

Drama Scammer mengisahkan mengenai Amy, seorang peguam bela yang terkemuka dan dia mahu gunakan kepakaran Joe (Kamal Adli) yang juga bekas kekasihnya dalam selok-belok perbankan dan pengubahan wang untuk memindahkan wang pelanggannya yang cuba lari dari kadar cukai yang tinggi.

SALEHA mencabar diri membawakan watak antagonis sebagai Amy dalam drama bersiri Scammer di samping Kamal.
SALEHA mencabar diri membawakan watak antagonis sebagai Amy dalam drama bersiri Scammer di samping Kamal.

Tergoda dengan tawaran gaji yang tinggi, Joe setuju bekerja dengan Amy. Kepakaran Joe dan kecekapan Amy mula dapat perhatian Wong, ketua kongsi gelap yang mempunyai rangkaian kegiatan jenayah seperti pelacuran, dadah, pinjaman wang serta judi. Wong mengarahkan mereka 'cuci duit' perniagaan haramnya yang bernilai ratusan ribu setiap tahun.

Menurut Saleha, sepanjang menjalani penggambaran, dia mengakui drama itu memberi kebaikan buat dirinya.

Katanya, sebelum ini dia kurang pemahaman mengenai 'scammer' dan aktiviti pengubahan wang haram yang sering diperkatakan.

"Apabila mula berlakon drama Scammer ini, banyak perkara

baharu yang saya tahu mengenainya, terutama sekali berkenaan cuci wang haram, penipuan secara dalam talian dan ia memang sering berlaku dalam masyarakat.

"Bagi saya jalan cerita sebegini perlu diketengahkan supaya lebih ramai orang tahu mengenai isu ini," katanya.

Pada masa sama, Saleha juga berharap dia tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian apabila membawa watak Amy.

Saleha berkata, tujuan dia menjayakan watak mencabar itu hanyalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kegiatan jenayah terbabit.

"Saya harap sebaik melakonkan watak ini saya tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian. Saya jayakan watak ini dengan kerelaan hati dan terbuka bagi mengembangkan bakat seni yang saya miliki.

JAYAKAN watak mencabar untuk beri kesedaran kepada masyarakat mengenai kegiatan jenayah terbabit.
JAYAKAN watak mencabar untuk beri kesedaran kepada masyarakat mengenai kegiatan jenayah terbabit.

"Walaupun watak yang dibawakan ini jahat dan bahaya, saya tidak bimbang atau memikirkan sesuatu yang buruk bakal terjadi. Apa yang saya

lakukan hanyalah sekadar lakonan semata-mata untuk memberi kesedaran kepada orang ramai," katanya.

Selain Saleha, drama arahan Norhanisham Muhammad itu menampilkan lakonan Kamal Adli, Fasha Sandha, Arash Mohamad, Hasnul Rahmat, Jay Iswazir dan Didie Alias.

Drama 20 episod terbitan Radius One Sdn Bhd itu sudah mula menemui peno

nton setiap Isnin hingga Khamis jam 11 malam di Astro Ria.

Isi masa lapang dengan aktiviti berfaedah sepanjang PKP 3.0

Ditanya mengenai arahan kerajaan untuk duduk di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Saleha tidak melihat ia sebagai satu halangan untuk mengisi ruang waktu yang ada dengan aktiviti yang bermanfaat.

Mengakui peningkatan mendadak kes wabak Covid-19 amat membimbangkan, Saleha berkata, selain fizikal, kesihatan mental juga perlu diambil kira oleh setiap individu.

"Memandangkan kita semua kena duduk dalam rumah, tentunya setiap daripada kita kena pastikan kesihatan minda juga terjaga. Saya jadikan aktiviti menonton saluran Netflix atau memasak sebagai sebahagian daripada terapi diri.

"Kadang-kadang saya melukis, membaca buku dan mengemas rumah, itu pun terapi. Ruang waktu yang ada sekarang saya gunakan juga untuk mengasah semula bahasa Perancis yang dipelajari menerusi YouTube,"katanya.

Walaupun aktiviti penggambaran terpaksa dihentikan seketika, Saleha bagaimanapun mempunyai komitmen dengan pelbagai jenama untuk menghasilkan kandungan bahan media sosial.

"Kerjaya ini pun memerlukan saya untuk berinteraksi di media sosial sebagai duta produk dan pempengaruh (influencer)."

"Tapi saya tak adalah anggap diri sebagai pempengaruh sangat, cuma bila ada pelbagai pihak nak bekerjasama, saya perlu juga gunakan media sosial dan menyediakan bahan kandungan demi pengikut serta peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 7:00 AM