ARWAH Ismail Kijo. FOTO Arkib NSTP
ARWAH Ismail Kijo. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Bekas Ahli Dewan Undangan (Adun) Lembah Jaya yang juga Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo meninggal dunia akibat Covid-19, hari ini.

Ismail, 69, dilaporkan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dan menghembuskan nafas terakhir pada 12.33 tengah hari.

Mengesahkan perkara itu, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Ampang Mior Azlan Mior Kamarulbaid berkata, arwah Ismail menjadi ketua bahagian sejak 2008 dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 16 Januari lalu.

"Urusan pengebumian diuruskan Kementerian Kesihatan (KKM) disebabkan arwah positif Covid-19.

"Kami mengetahui arwah positif pada 16 Januari lalu ketika dimaklumkan dalam kumpulan WhatsApp," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar di Facebooknya sebentar tadi, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Innalillahi wainnaillaihi rojiun. Dukacita dimaklumkan sahabat saya dalam Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk Ismail Kijo, Ketua Umno Bahagian Ampang kembali ke Rahmatullah sebentar tadi di Hospital Sungai Buloh.

"Sama-sama kita doakan semoga Allahyarham diletakkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh. Salam Takziah kepada seluruh anggota keluarga. Al-Fatihah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 2:47 PM