ANTARA siri  laporan pembongkaran Hospital Bom Jangka  pada 2  Jun 2018.
ANTARA siri laporan pembongkaran Hospital Bom Jangka pada 2 Jun 2018.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Harian Metro mendedahkan kegagalan pihak berkuasa dalam menyediakan fasiliti selamat kepada rakyat yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di seluruh negara.

Pihak berkuasa seolah-olah tidak mengambil iktibar daripada kejadian kematian enam pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Oktober 2016 yang terbakar akibat litar pintas.

Bertitik tolak daripada sikap sambil lewa itu, wartawan Skuad Khas Harian Metro gandingan Mohd Firdaus Ibrahim, Syazwan Msar dan Amir Abd Hamid mengumpul maklumat selama hampir dua bulan bagi mengenal pasti hospital kerajaan di seluruh negara yang tidak memenuhi aspek keselamatan seperti ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Maklumat terkumpul mendedahkan sebanyak 39 hospital kerajaan terutama berusia lebih 100 tahun tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) namun terus digunakan selain sesak dengan kehadiran masyarakat setempat untuk mendapatkan rawatan.

Berdasarkan pemerhatian awal, kebanyakan hospital yang menjadi tumpuan ramai didapati sudah uzur dan tidak memiliki ciri keselamatan optimum. Ketika itu, JBPM antara pihak yang dipertanggungjawab untuk melakukan siasatan terhadap semua hospital di seluruh Malaysia.

Siasatan dan pemerhatian JBPM yang diperoleh Harian Metro mendapati kebanyakan hospital tidak memiliki sijil FC, sekali gus berisiko kepada orang awam jika berlakunya kejadian tidak diingini.

Harian Metro turut mendapatkan pandangan pakar berkaitan termasuk melakukan sendiri pemerhatian dan tinjauan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Masalah atau halangan utama wartawan dalam melengkapkan laporan ini adalah kesukaran untuk mendapatkan akses atau kerjasama daripada pihak hospital untuk melakukan tinjauan serta komen daripada mereka.

Pendedahan eksklusif secara bersiri yang mula disiarkan 1 Jun 2018 itu mendapat perhatian Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menjelaskan pihaknya sedang berusaha mendapatkan dana bagi meningkatkan aspek keselamatan di semua hospital kerajaan.

JBPM turut menyifatkan HSA, Hospital Kajang, HKL dan puluhan hospital lain sebagai tenat dan memerlukan sistem kebakaran yang dipertingkatkan dalam kadar segera bagi mengelakkan kebakaran sehingga membawa kematian kepada pesakit.

Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Ar Ezumi Harzani Ismail bagaimanapun menyifatkan penguatkuasaan longgar pihak berkuasa terhadap pengurusan hospital kerajaan sebagai punca kepada kegagalan premis berkenaan memenuhi piawaian ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (ketika itu Datuk) pada hari keempat selepas pendedahan dilakukan Harian Metro mengakui 95 hospital dan institusi berkaitan seluruh negara perlu dilakukan pendawaian semula sistem elektrik.

Berikutan pendedahan dilakukan Harian Metro, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah drastik mengenal pasti hospital bermasalah dan mengeluarkan perbelanjaan menerusi pembentangan bajet untuk menaik taraf hospital.

Siri pembongkaran Hospital Bom Jangka merangkul anugerah kategori Laporan Berita Cemerlang pada Malam Wartawan Malaysia 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 11:21 AM