PFAM menyelar tindakan Kelantan FC mendedahkan notis tuntutan gaji lima bekas pemainnya kepada umum. FOTO Facebook TRW Kelantan FC
PFAM menyelar tindakan Kelantan FC mendedahkan notis tuntutan gaji lima bekas pemainnya kepada umum. FOTO Facebook TRW Kelantan FC
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyelar tindakan Kelantan FC mendedahkan notis tuntutan gaji lima bekas pemainnya kepada umum sebagai tidak profesional dan menuntut pengurusan pasukan terbabit menghormati kontrak pemain.

Menerusi kenyataan di laman sosial semalam, PFAM memaklumkan notis tuntutan berkenaan masih di peringkat surat menyurat antara kedua-dua pihak dan sewajarnya ia tidak harus didedahkan kepada umum.

Malah, tindakan pemilik Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan Zamsaham yang enggan membayar gaji pemain secara penuh bagi November 2020 tidak memberikan justifikasi untuk pasukan dikecualikan daripada tanggungjawab mereka mengikut kontrak antara pasukan dan pemain.

"PFAM tiada halangan sekiranya pemotongan gaji itu dibuat mengikut terma kontrak ditetapkan.

"Namun, sekiranya pemotongan itu tidak berlandaskan ketetapan kontrak antara dua pihak, PFAM berpendapat adalah tidak wajar untuk pihak TRW berbuat demikian.

"Tambahan pula, sekiranya pandemik Covid-19 diambil kira, PFAM menekankan perlunya pihak pasukan mengikut Garis Panduan Penyelarasan Gaji yang dikeluarkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) apabila pasukan perlu membayar secara penuh kepada pemain apabila liga kembali bersambung," kata PFAM.

Jelas PFAM, pemain tidak boleh dijadikan mangsa berhubung jumlah perlawanan November 2020 yang dilalui pasukan kerana ia bukan berada di dalam kapasiti mereka untuk menentukan jumlah perlawanan sesuatu pasukan.

Menurut PFAM, berkenaan sikap bertolak ansur dibangkitkan Norizam juga tidak adil buat pemain yang banyak bertolak ansur.

"Dalam isu ini, PFAM berpendapat bahawa pemain, sekalipun tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan gaji, masih bertolak ansur dengan pihak TRW (The Red Warriors) kerana memberikan masa untuk pihak TRW membuat bayaran sebelum membuat aduan kepada PFAM.

"Tujuan pemain menangguhkan aduan kerana memberi ruang kepada pihak TRW melunaskan bayaran tunggakan lain, serta membolehkan pihak TRW melepasi syarat perlesenan dan seterusnya dapat bersaing dalam saingan liga musim ini.

"Selain itu, pemain masih menghormati pengurusan pihak TRW kerana tidak pernah membuat kenyataan secara terbuka berhubung isu ini sehingga ia dibangkitkan sendiri kepada umum oleh pihak TRW".

Terdahulu, Norizam di laman sosial menegaskan tuntutan dibuat lima bekas pemain itu disifatkan tidak adil kepada rakan sepasukan lain yang bersetuju dengan pemotongan 50 peratus.

Lima pemain yang membuat tuntutan menerusi PFAM ialah Nazrin Nawi, Mohd Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Masaki Watanabe membabitkan tunggakan gaji bagi November tahun lalu berjumlah RM158,857.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 7:00 AM