AKSI persahabatan TRW menentang TFC II, baru-baru ini.
AKSI persahabatan TRW menentang TFC II, baru-baru ini.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perlawanan Liga Malaysia (Liga M) baru saja membuka tirai, namun 'The Red Warriors' TRW Kelantan FC boleh dikatakan agak malang apabila dipalit isu tunggakan gaji dengan tuntutan bernilai kira-kira RM160,000 daripada bekas pemain.

Situasi berkenaan memberi tamparan hebat kepada pasukan yang boleh dikatakan baru saja bernafas selepas terpalit lebih 20 tahun membabitkan tungggakan gaji dan hutang sebelum ini.

Menerusi surat yang dihantar oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) kepada pengurusan pasukan terbabit memaklumkan bahawa terdapat tunggakan gaji November tahun lalu masih lagi gagal dijelaskan seperti diperuntukkan dalam kontrak pemain.

Katanya, tunggakan gaji itu membabitkan bekas tonggak pasukan berkenaan iaitu Mohd Nazrin Mohd Nawi (RM19,000), Mohd Farisham Ismail (RM15,000), Nik Akif Syahiran Nik Mat (RM13,000), Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni (RM20,000) dan bekas pemain import, Masaki Watanabe berjumlah RM91,000.

Walaupun sebelum ini kedua-dua pihak sudah mengadakan perbincangan bersama bagi menyelesaikan isu berkenaan, pemain tidak bersetuju dengan terma atau usul yang dikemukakan oleh TRW Kelantan FC sekali gus meminta pengurusan membayar hutang berkenaan seperti tertera pada kontrak.

Oleh itu, pengurusan TRW Kelantan FC diberi tempoh 10 hari menyelesaikan segala tunggakan berkenaan dan jika gagal berbuat demikian tindakan lanjut akan diambil bekas pemain terbabit.

Sementara itu, penasihat undang-undang TRW Kelantan FC memaklumkan bahawa pihaknya sudah menghubungi seterusnya merayu kepada pemain berkenaan supaya menerima pengurangan gaji yang dicadangkan kepada mereka.

"Pengurangan gaji itu kerana pihak pengurusan TRW Kelantan FC yang baru sudah melangsaikan tunggakan hutang pemain sebelum ini dan juga ketiadaan pendapatan disebabkan oleh pandemik Covid-19 kerana tiada penonton dibenarkan masuk ke stadium.

"Perlawanan terakhir pasukan Kelantan FC bagi bulan November juga hanya sekali dan adalah tidak adil bagi pemain lain yang sudah bersetuju dengan bayaran separuh gaji bagi bulan terbabit.

"Walaupun benar pihak pengurusan baharu perlu mengikut apa yang ada di dalam kontrak, pemain nampaknya lebih mementingkan diri sendiri tanpa ada timbang rasa sewajarnya.

"Pengurusan baharu akan membayar apa yang perlu jika mereka ini tetap berkeras, termasuk meneliti hak pengurusan segi perundangan di bawah Covid-19," katanya.

Sebelum ini, pemilik pasukan terbabit Norizam Tukiman sudah mengeluarkan duit poket sendiri kira-kira RM3.8 juta bagi menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji pemain termasuk yang membabitkan kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada masa sama, Norizam atau Zamburger turut menjelaskan bayaran tunggakan gaji skuad Piala Presiden serta Belia bagi musim 2019 dan 2020 berjumlah RM195,476.89.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:45 AM