DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Wartawan HM


Putrajaya: Penularan Covid-19 dalam negara terus menunjukkan angka tinggi dengan merekodkan 293 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 12,381 kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 1,961 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 293 kes baharu dilaporkan itu, hanya satu kes import yang tiba dari Bangladesh, manakala selebihnya adalah penularan tempatan.

Beliau berkata, daripada 292 kes penularan di dalam negara, 269 kes dikesan dalam kalangan warganegara dan 23 kes bukan warganegara.

Katanya, daripada kes penularan dalam negara itu juga, 30 kes adalah pengunjung yang pulang dari Sabah, ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September sebanyak 206 kes.

"Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara paling tinggi direkodkan di Sabah dengan 126 kes diikuti Kedah (113 kes) dan Selangor (31 kes).

"Penularan Covid-19 di negeri lain dilaporkan di Johor (8 kes), Labuan (5 kes), Kuala Lumpur (2 kes), Negeri Sembilan (2 kes), Perak (2 kes), Pulau Pinang (1 kes), Kelantan (1 kes) dan Sarawak (1 kes)," katanya melalui kenyataannya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ada 67 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 10,283 kes.

"Sehingga kini, 28 pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 137 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 5:40 PM