MOHD Hairawi (kiri) bersama Nur Ain dan bayi dalam kandungannya maut apabila motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang, Alor Gajah, hari ini. FOTO Hassan Omar.
MOHD Hairawi (kiri) bersama Nur Ain dan bayi dalam kandungannya maut apabila motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang, Alor Gajah, hari ini. FOTO Hassan Omar.
Hassan Omar


WANITA hamil tujuh bulan bersama bayi dalam kandungannya dan suami, maut dalam keadaan menyayat hati selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang, Alor Gajah, hari ini.

Dalam kejadian 7.40 pagi itu, Nur Ain Kamarulzaman, 25, membonceng motosikal ditunggangi suami, Mohd Hairawi Mat Rezam, 36, sebelum kenderaan mereka dirempuh kereta Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, pemandu kereta berusia 34 tahun dalam perjalanan dari arah Gadek ke Pulau Sebang, manakala mangsa datang dari arah bertentangan.

"Siasatan mendapati suami isteri itu dalam perjalanan dari Taman Rakyat Kuala Ina, Tampin ke Hospital Melaka untuk menghadiri janji temu dengan pakar perubatan di hospital berkenaan.

"Pemandu kereta terbabit dipercayai hilang kawalan hingga menyebabkan kenderaannya berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa," katanya.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak beberapa meter dari motosikal dan Mohd Hairawi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Katanya, jenazah mangsa yang bekerja sebagai tukang masak dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala Nur Ain dibawa ke Hospital Tampin kerana parah di kepala dan badan.

"Bagaimanapun, Nur Ain dan kandungannya disahkan meninggal ketika dirawat di hospital itu pada 12 tengah hari.

"Kandungan masih belum dikenal pasti jantinanya itu adalah anak pertama pasangan terbabit dan Mohd Hairawi beralamat di Jalan Klinik Kesihatan Guchil Luar, Kuala Krai, Kelantan manakala Nur Ain berasal dari Taman Rakyat," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati cuaca ketika kejadian dalam keadaan baik dan punca kejadian dipercayai akibat kegagalan mengawal kenderaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 2:04 PM