BILANGAN kerusi dimiliki PN dikatakan sudah mencukupi selepas mendapat sokongan daripada wakil rakyat dari Bersatu.
BILANGAN kerusi dimiliki PN dikatakan sudah mencukupi selepas mendapat sokongan daripada wakil rakyat dari Bersatu.
Yusmizal Dolah Aling


SELEPAS Johor, Melaka dan Perak tumbang, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah pula kini berada dalam radar pemantauan pemerhati politik apabila Perikatan Nasional (PN) diterajui PAS negeri itu dijangka membentuk kerajaan negeri seawal minggu depan.

Ia berdasarkan jumlah kerusi dimiliki PN ketika ini dikatakan sudah mencukupi selepas mendapat sokongan daripada wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain kerusi sedia ada iaitu 15 PAS, dan dua kerusi daripada Umno.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) memaklumkan kepada Harian Metro, beberapa wakil rakyat daripada Bersatu sudah menyatakan persetujuan mereka untuk menyokong PN dan akan menandatangani akuan bersumpah (SD) sebelum dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam waktu terdekat.

Katanya, PAS yang memiliki kerusi terbanyak dalam komposisi DUN Kedah dengan 15 kerusi, diikuti PKR (tujuh kerusi), Bersatu (enam kerusi), Parti Amanah Negara (empat kerusi), DAP (dua kerusi) dan Barisan Nasional sebanyak dua kerusi.

“Setakat ini, kita sedang menunggu untuk beberapa orang Yang Berhormat daripada Bersatu menandatangani SD. Jika semua berjalan lancar kita akan dapat majoriti untuk membentuk kerajaan negeri Kedah yang baharu. Mungkin 21 daripada 36 kerusi,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa nasib anaknya yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz kini diibaratkan seperti telur di hujung tanduk selepas terbentuknya PN yang meruntuhkan kerajaan PH baru-baru ini.

Sebelum ini, Mukhriz yang juga Adun Jitra diangkat menjadi Menteri Besar Kedah selepas mendapat majoriti 19 kerusi termasuk sokongan daripada Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan negeri pada 2018.

Minggu lalu, timbul khabar angin mengatakan dua Adun dari PKR menyatakan sokongan kepada PN susulan perubahan di peringkat Persekutuan malah mereka juga dikatakan cenderung kepada bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dengan perkembangan terbaru, PAS yang menjadi gabungan terpenting di dalam PN dilihat berpeluang cerah untuk mentadbir Kedah berdasarkan jumlah kerusi terbanyak di Dewan Undangan Negeri (Dun).

Nama yang disebut-sebut akan dilantik Menteri Besar ialah Ketua Pembangkang DUN Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Adun Jeneri, dalam Parlimen Sik.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS pusat dan Timbalan Persuruhjaya 1 Pas Kedah bukanlah nama baharu di negeri itu dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah ke-10, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 6:40 AM