FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Faliq Lajim


“SAYA tamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada 2015. Sehingga, kini saya masih belum mendapat kerja,” kata graduan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Atie, 34.

Atie mengakui kesukaran untuk mencari kerja itu menyebabkan dia kini memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa buat sementara waktu.

Beliau melanjutkan pengajiannya PhD dalam jurusan hartanah selepas mendapat tawaran terbabit ketika tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini.

“Secara jujurnya, saya agak sedikit menyesal apabila lompat pengajian sarjana selain tidak memilih untuk bekerja terlebih dulu.

“Saya ingat selepas habis PhD senang untuk menjadi pensyarah. Namun, sangkaan saya itu meleset apabila masih mencari pekerjaan sehingga kini,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, beliau sudah pergi temu duga untuk beberapa jawatan namun masih tidak dipanggil sehingga kini.

“Alasan yang sering diberikan adalah saya tidak mempunyai pengalaman kerja selain lompat dalam pengajian Sarjana.

“Untuk soal gaji tidak timbul berikutan saya sanggup dibayar untuk pensyarah dengan kelayakan Sarjana,” katanya yang mengakui sedikit menyesal melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.

Sementara itu, Dr Khairunnisa Ahmad Kamil, 34, berkata, beliau kini masih menunggu tempat bagi kekosongan jawatan di institusi yang menawarkan biasiswa kepadanya.

Menurutnya, beliau mengambil masa lebih enam tahun untuk melengkapkan PhD di Australia dalam bidang ekonomi sumber semula jadi.

“Saya tamatkan pelajaran saya pada Mac lalu. Sehingga kini saya masih menunggu institusi terbabit untuk memanggil saya bekerja memandangkan tiada lagi kekosongan jawatan di situ.

“Sementara menunggu untuk dipanggil, saya melakukan kerja separuh masa terlebih dulu memandangkan terikat dengan biasiswa yang ditawarkan,” katanya.

Hanya 74,221 pekerjaan ditawarkan

Sehingga 30 November lalu hanya 74,221 pekerjaan yang ditawarkan kepada graduan yang mempunyai kelulusan di dalam Portal JobsMalaysia.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Jabatan Tenaga Kerja Malaysia (JTKSM) Mustaffa Kamal Bawaihi berkata, jumlah terbabit sedikit memandangkan terdapat 213,869 graduan yang sedang aktif mencari kerja di dalam portal itu.

“Di dalam portal kita, terdapat 922,336 kekosongan jawatan diiklankan oleh majikan aktif. Namun, 848,115 jawatan yang ditawarkan itu adalah bagi golongan bukan siswazah.

“Memang kerja banyak yang ditawarkan, namun ia adalah pada tahap rendah membabitkan pekerjaan seperti operator, loji, mesin dan pemasang serta pekerja asas,” katanya.

Dalam pada itu, Mustaffa Kamal turut menyangkal kenyataan individu yang mengatakan rakyat di negara ini malas dan memilih kerja.

Menurutnya, faktor gaji selain kos sara hidup yang tinggi antara sebab lebih ramai rakyat di negara ini memilih bekerja di luar negara.

“Ada di antara mereka memilih untuk bekerja di luar negara seperti Singapura, Australia dalam lain-lain lagi walaupun hanya berkerja pada tahap rendah.

“Namun, memandangkan gaji yang ditawarkan setimpal mereka sanggup berhijrah walaupun terpaksa melakukan pekerjaan 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

“Ia turut dibuktikan melalui kajian oleh rakan strategik kami yang mendedahkan gaji adalah antara faktor utama mengapa rakyat di negara ini memilih bekerja di luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 9:00 AM