FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

SEORANG ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran jelik dan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam blog MalaysiaFlipFlop.

Bagaimanapun Lai Yuet Ming, 64, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

Lai didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap perdana menteri dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui blog "MalaysiaFlipFlop" pada 23 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara sedar membuat kenyataan membabitkan Yang di-Pertuan Agong dalam blognya pada 21 Mac lalu dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada 1.40 petang, 6 Mei lalu dan pada 10 malam, 21 Mac lalu.

Di mahkamah sama, ahli perniagaan Md Haniff Md Yunos mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat penghantaran jelik terhadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Md Haniff, 40, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Sultan Kelantan dengan niat untuk menganiayai orang lain di dalam Facebook atas nama Ayahanda Tunggak Md Haniff pada 10.30 malam, 13 April lalu.

Profil Facebook itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia pada 7.00 petang, 14 April lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi mencadangkan kedua-dua OKS, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu mereka tidak boleh membuat apa-apa hantaran yang jelik di dalam sosial media atau hantaran berkaitan dengan perbicaraan.

Peguam L Hamsagayathri, yang mewakili Lai memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya adalah ibu tunggal kepada lima orang anak dan mempunyai kesukaran hidup.

"Tiada risiko untuk OKS melarikan diri dan mengganggu saksi serta pengadu dalam kes ini," katanya yang turut memaklumkan anak guamnya turut mengalami masalah kesihatan.

Md Haniff yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum kerana pendapatannya terjejas akibat wabak Covid-19.

"Saya menjalankan syarikat keselamatan dan sejak Covid-19 melanda negara, pendapatan saya turut terjejas sehingga isteri terpaksa menjual rantai emas untuk menyara keluarga," katanya.

Mahkamah membenarkan Lai dan Md Haniff, masing-masing diikat jamin RM4,000 dan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 3:53 PM