SAFAWI mahu lebih garang dalam aksi akan datang. FOTO Bernama
SAFAWI mahu lebih garang dalam aksi akan datang. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


KEJAYAAN meledak dua gol menerusi tendangan kaki kiri padu ke atas Indonesia masih tidak memberi kepuasaan buat pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid yang bertekad untuk tampil lebih berbisa dalam aksi akan datang.

Ledakan berbisa bak peluru menerusi sepakan percuma babak pertama dan rembatan dalam kotak penalti di separuh masa kedua memastikan Malaysia merakam kemenangan 2-0 sekali gus meraih tiga mata berharga untuk naik di tangga kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Jelas pemain kelahiran Dungun, Terengganu yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia itu, dua gol berkenaan amat manis apatah lagi jaringan sepakan percumanya itu adalah yang kedua di peringkat antarabangsa.

Katanya, biarpun sudah beberapa kali meledak menerusi sepakan percuma dalam saingan liga tempatan, gol yang terhasil pada minit ke-30 itu lebih istimewa kerana ia berlaku dalam kempen kelayakan Piala Dunia.


“Saya bersyukur kerana dapat membantu pasukan dan gol sepakan percuma itu amat istimewa sekali. Saya gembira dan berharap mampu melakukannya lagi dalam aksi bersama pasukan negara,” katanya.

Dua gol berkenaan membolehkan Safawi mengumpul 10 gol bersama pasukan kebangsaan dengan gol pertama dicetak ketika menentang Korea Utara dalam saingan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 yang menyaksikan skuad negara di bawah kendalian Nelo Vingada ketika itu tewas menerusi agregat 8-2.

Malah, gol menerusi situasi bola mati itu bukanlah yang pertama buatnya apabila pada kempen Piala AFF tahun lalu dia turut meledak ketika mengikat Vietnam 2-2 pada final pertama di Bukit Jalil.

Katanya, dua gol cantik yang tercipta di Stadium Nasional Bukit Jalil itu turut menambah keyakinannya menjelang aksi berikutnya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mac depan di Dubai.

“Apa pun saya tetap akan perbaiki dari hari ke hari untuk Malaysia... saya masih belum puas. Kemenangan ini penting untuk keyakinan saya menjelang perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti.

“Kami akan terus beri komitmen dan tingkatkan tahap kecergasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 7:00 AM