Keadaan Aida Khayreen ketika menjalani rawatan kemoterapi di hospital. FOTO Ihsan Aida Khayreen Rashidi
Keadaan Aida Khayreen ketika menjalani rawatan kemoterapi di hospital. FOTO Ihsan Aida Khayreen Rashidi
Redzuan Muharam


HASRAT anak bongsu daripada empat beradik, Aida Khayreen Rashidi, 22, untuk menggenggam diploma hampir tidak kesampaian apabila disahkan menghidap barah tulang ketika di semester empat pengajian.

Berikutan penyakit itu, Aida Khayreen terpaksa bercuti 14 bulan bagi menjalani rawatan kemoterapi di hospital.

Namun sokongan keluarga dan rakan memberi kekuatan buat Aida Khayreen melawan penyakit itu dan menghabiskan baki pengajiannya walaupun lewat daripada tempoh sepatutnya.

Berkongsi pengalamannya, gadis cekal itu mengakui terkejut selepas dimaklumkan doktor dirinya menghidap barah kerana tiada ahli keluarga lain ada penyakit itu sebelum ini.

“Saya disahkan menghidap barah tulang tahap tiga pada Februari 2017 hasil ujian dijalankan selepas doktor menemui ketumbuhan pada rahang di sebelah kiri.

“Ketumbuhan itu dikesan selepas sebulan saya menjalani rawatan mencabut gigi geraham pada Disember 2016 dan menurut doktor, ia bukan disebabkan faktor genetik tetapi berikutan adanya sel barah yang aktif.

“Memang sedih malah saya menangis ketika dimaklumkan mengenai perkara itu tetapi cuba positif dan mengikut saranan doktor dengan menjalani rawatan kemoterapi selama setahun sehingga Disember 2017,” katanya dihubungi mengulas mengenai ciapan dimuat naiknya di Twitter, semalam.

Menerusi ciapan berkenaan, Aida Khayreen berkongsi luahan perasaannya selepas menamatkan pengajiannya walaupun berdepan ujian selepas disahkan menghidap barah.

Selain itu, dia turut memuat naik gambarnya ketika menjalani rawatan di hospital dan menghadiri majlis Istiadat Konvokesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar pada 9 Oktober lalu.

Sehingga kini, ciapan itu mendapat 13,700 tanda suka dan 10,700 ulang ciap oleh warganet yang rata-ratanya meluahkan rasa sebak dan mengucapkan tahniah atas kejayaannya menamatkan pengajian.

Bercerita lanjut, detik paling sukar dilaluinya adalah selepas semua gigi bawahnya dibuang ketika menjalani pembedahan rahang pada Julai 2017.

“Saya agak positif untuk menjalani kemoterapi tetapi hilang keyakinan selepas melakukan pembedahan rahang yang menyebabkan gigi dicabut dan bengkak pada wajah.

“Sehingga satu tahap, saya tidak sanggup melihat cermin dan gambar lama tetapi keluarga terutama ibu, Norsita Md Din, 53, banyak memberi semangat.

“Malah mereka (keluarga) tidak pernah menangis di hadapan saya dan sokongan itu yang menguatkan semangat saya untuk menghabiskan pengajian selepas dua bulan tamat menjalani kemoterapi,” katanya yang kini beransur pulih dan tidak lagi menjalani kemoterapi.

Aida Khayreen bergambar bersama ibu bapanya selepas majlis konvokesyen di UiTM Seri Iskandar, Perak baru-baru ini. FOTO Ihsan Aida Khayreen Rashidi
Aida Khayreen bergambar bersama ibu bapanya selepas majlis konvokesyen di UiTM Seri Iskandar, Perak baru-baru ini. FOTO Ihsan Aida Khayreen Rashidi

Dalam pada itu, Aida Khayreen berkata, sekalipun tidak mendapat keputusan cemerlang seperti diharapkan, dia bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menamatkan pengajian di peringkat diploma.

“Pada awal semester, saya menuntut di UiTM Arau tetapi berpindah kampus selepas menyambung semula pengajian jadi keadaan agak berbeza kerana perlu menyesuaikan dengan persekitaran baru.

“Selain itu, rutin saya juga berubah apabila perlu kerap berulang alik ke Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan susulan dengan doktor namun saya bersyukur kerana dikelilingi rakan yang memahami dan sedia membantu sepanjang tempoh pengajian.

“Disebabkan itu, saya jadi sebak apabila naik ke pentas untuk mengambil skrol pada majlis konvokesyen baru-baru ini kerana tidak sangka dapat sampai ke tahap ini.

“Lebih mengharukan saya apabila ramai memberi kata-kata semangat selepas berkongsi pengalaman di Twitter dan saya tak sangka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 8:00 PM