WARNA cantik sering jadi buruan.
WARNA cantik sering jadi buruan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KUALA LUMPUR: Hobi bela binatang yang akhirnya mengundang bala. Itu tindakan segelintir individu yang masih berdegil dengan memelihara haiwan liar dilindungi secara haram.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang padah apabila haiwan liar milik mereka disita manakala mereka diheret ke mahkamah.

Dalam kes terbaru, sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memeriksa sebuah premis di Saujana Utama, Sungai Buloh selepas pemiliknya dikesan memelihara pelbagai spesies burung dilindungi.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dalam serbuan jam 9.30 malam Selasa lalu, pihak Perhilitan menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia manakala majikannya tiada di rumah.

“Isteri pemilik kediaman yang pulang tidak lama kemudian gagal menunjukkan lesen atau permit menyimpan binatang liar oleh Perhilitan.

“Hasil pemeriksaan di kediaman itu menemui enam ekor pelbagai spesies burung antaranya burung hantu Barn Owl, burung Tiong, burung Daun dan burung Dendang Selayang,” katanya.

Menurutnya, semua burung itu dirampas bersama enam sangkar burung berkenaan.

ANTARA burung dirampas dari sebuah rumah di Saujana Utama, Sungai Buloh.
ANTARA burung dirampas dari sebuah rumah di Saujana Utama, Sungai Buloh.

“Tindakan sama turut diambil anggota Perhilitan Johor terhadap seorang lelaki tempatan berusia 50-an yang didapati memelihara pelbagai jenis burung di kediamannya di Kampung Kangkar Tebrau, Kota Tinggi, Johor.

“Operasi dilakukan pada jam 1 tengah hari, selepas suspek berjaya ditahan di pinggir hutan Kampung Sungai Telur, bersama seekor burung Daun dan dua jerat jebak.

“Susulan itu pemeriksaan dilakukan di rumahnya sebelum pegawai Perhilitan merampas 14 ekor ayam hutan dan seekor burung Serindit di belakang kediamannya,” katanya.

Susulan itu semua burung berkenaan dirampas dan dibawa ke Pejabat Perhilitan Bandar Penawar untuk tindakan lanjut.

Serbuan turut dilakukan di sebuah kediaman di Balik Pulau, Pulau Pinang baru-baru ini susulan maklumat diperoleh berhubung hobi pemiliknya yang membela pelbagai haiwan liar dilindungi.

Dalam serbuan jam 10.30 pagi, pegawai Perhilitan mendapati pemilik kediaman berusia 20-an memelihara pelbagai jenis burung dilindungi sepenuhnya seperti burung Merbah Luris Leher, burung Daun Kecil, burung Merbah Beringin, burung Merbah Jambul Hitam, burung Daun Sayap Biru, burung Tiong Mas, burung Serindit dan burung Kelicap Kunyit.

“Turut dirampas seekor Musang Pulut, dua ekor ular kapak Tokong, ular Punti, ular sawa batik, ular tedung selar, kera dan Red-eared Slider,” katanya.

PERHILITAN merampas ayam hutan di belakang sebuah rumah di Kota Tinggi.
PERHILITAN merampas ayam hutan di belakang sebuah rumah di Kota Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:40 AM