JOE Flizzow. FOTO Mahzir Mat Isa
JOE Flizzow. FOTO Mahzir Mat Isa
Najiy Jefri

BINTANG hip hop ini berkongsi perihal kisah peribadinya kepada khalayak, lebih-lebih lagi membabitkan wanita yang kini bertakhta di hatinya.

Bagaimanapun figura hebat Joe Flizzow ketika ditemui baru-baru ini memberitahu dia akan membuat pengumuman apabila sampai waktunya.

“Saya akui membina sebuah keluarga itu penting dan saya akan kongsikan berita itu tidak lama lagi.

“Saya memang susah nak bercerita hal peribadi namun mungkin anda bakal terima perkhabaran itu nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pengembangan label terbaru Def Jam Recordings Malaysia dan Singapura, gabungan Kartel Records dengan Universal Music Sdn Bhd.

Def Jam mempunyai barisan bakat seperti Joe, SonaOne, AbubakarXLI, Caprice, Badboii, Alif, Fariz Jabba dan Yung Raja.

Di sebalik nama-nama yang diumumkan, ramai tertanya-tanya bagaimana Joe boleh bekerjasama dengan Caprice sedangkan mereka dikatakan ada masalah tidak lama dulu.

Joe menjelaskan, dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan penyanyi itu malah Caprice dianggap seperti adiknya sendiri.

Joe berkata, salah faham mengenai hubungan mereka timbul apabila masing-masing pernah membuat luahan di media sosial pada masa yang sama.

“Tidak pernah wujud salah faham selama kami berkawan malah saya melihat dia sebagai penyanyi yang boleh menjadi contoh kepada penggemar muzik tempatan.

“Cuma, sebelum ini ramai yang keliru apabila kami berdua memuat naik status pada masa yang sama hingga ada pihak buat andaian sendiri.

“Tweet yang dikemas kini itu ditujukan kepada penganjur konsert yang membuang nama saya daripada senarai pada saat akhir.

“Pada waktu sama, Caprice turut memuat naik status di Twitter berhubung perkara lain.

“Disebabkan hal itu, mungkin kami dilihat seperti saling bertengkar di laman sosial,” katanya.

Tambah Joe, dia berkawan dengan Caprice sejak penyanyi itu berusia 16 tahun.

“Kemasukan Caprice dalam Def Jam bukti saya tidak hanya mengambil penyanyi daripada Kartel.

“Saya dan Caprice sudah lama berkawan dan saya anggap dia seperti adik.

“Dia beri saya demo ketika saya buat persembahan di Planet Hollywood.

“Sejak itu, kami mula berkawan dan saling berhubung.

“Malah, saya pernah merangka kumpulan untuk Caprice ketika dia mahu bertapak dalam industri muzik.

“Ada dua lagu yang dihasilkan pada 2004 cuma belum dilancarkan.

“Saya berbangga melihat perkembangannya yang bukan sekadar menghiburkan malah menyelitkan mesej positif pada masa sama,” katanya.

Mengulas mengenai label terbaru Def Jam Recordings Malaysia dan Singapura, Joe yang kini bertindak sebagai Pengarah Urusan Def Jam Asia Tenggara mengakui teruja apabila dapat membawa hip hop ke satu aras yang lebih hebat.

“Semestinya saya berbangga dengan pencapaian industri hip hop kerana berjaya berada di tahap ini.

“Suatu masa dahulu, saya pernah ditertawakan apabila bercakap mengenai muzik ini.

“Kini, perjuangan hip hop semakin diterima dan gabungan ini diharap memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian seterusnya berusaha keras menggapai cita-cita.

“Selama 20 tahun ini pelbagai cabaran serta rintangan terpaksa diharungi demi mewujudkan industri hip-hop Asean.

“Label ini akan menjadi penanda aras baharu dalam kerjaya seni dan saya bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada jenama ini.

“Sudah tiba masanya untuk hip hop Asia Tenggara didengari di seluruh dunia. Inilah waktu untuk mencipta sejarah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 6:01 AM