JOE beraksi bersama PrimeD dalam Persembahan Eksklusif Joe Barbarik di Uncle Chilli’s, Petaling Jaya Hilton, malam kelmarin.
JOE beraksi bersama PrimeD dalam Persembahan Eksklusif Joe Barbarik di Uncle Chilli’s, Petaling Jaya Hilton, malam kelmarin.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENAMPILAN pemain gitar ternama Joe menerusi Persembahan Eksklusif Joe Barbarik di Uncle Chilli’s, Petaling Jaya Hilton, Selangor malam kelmarin memukau 450 peminat.

Persembahan yang diiringi anggota PrimeD iaitu Zul selaku penyanyi, Ainol (dram), Rozaimi (bass) dan Adi Yamin Soul Statue (keyboard) membuatkan pusat hiburan itu padat.

Joe atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir, 50, berkata, beliau tidak menjangkakan kehadiran begitu ramai peminat menerusi persembahan solo ketiga yang dianjurkan.

“Ini adalah malam yang hebat dan amat menyeronokkan. Penonton begitu terhibur pada persembahan yang berkonsepkan heavy metal dan hard rock,” katanya.

Anak jati Muar, Johor itu berkata, persembahan berdurasi dua jam itu menyaksikan 16 lagu didendangkan iaitu Penunggu, Mayang Sulit, Julang Timur Tengah, Enigma, Dilailah, GGG, 203, Handal, Hati Sulam Lain dan Semalam Yang Hangat.

Selain itu Jumpa Hilang, Gua Henjut Aje, Teater Mahamega, Sakit Bantal Empuk, Keris Tak Ada Sarung, Sejati dan Inspirasi Syakilla.

“Kebanyakan lagu yang kami mainkan adalah yang jarang didengari terutama ketika penyertaan Mus bersama Wings.

“Persembahan ini menampakkan kelainan selain peminat sanggup datang awal untuk memberikan sokongan,” katanya.

Menurut Joe, keadaan sistem bunyi yang lancar menyemarakkan semangatnya untuk beraksi lebih baik sepanjang acara berlangsung.

JOE dengan aksinya yang memukau ratusan peminat.
JOE dengan aksinya yang memukau ratusan peminat.

“Lagu yang kami persembahkan mengembalikan nostalgia peminat ketika zaman remaja. Mereka begitu menghayati setiap lagu yang disampaikan sekali gus melepaskan kerinduan,” katanya.

Menurutnya, persembahan itu me­ngimbas kenangan lampau apatah lagi ia sudah lama dinanti.

“Dalam peranca­ngan, kami mahu mengadakan persembahan seterusnya di utara tanah air. Buat masa ini kami masih berbincang dengan pen­ganjur dan pihak kelab,” katanya.

Joe menegaskan, irama rock relevan sepanjang zaman kerana melodinya yang memukau, bait lirik yang membina serta kemerduan petikan gitar.

Dalam pada itu, Joe memberitahu Barbarik diambil bersempena sifatnya yang canggung dalam persekitaran dan menongkah arus.

“Barbarik dianggap ganas, kurang bertamadun dan tidak berperikemanusiaan. Namun dalam konteks hard rock, ia meluahkan segala-galanya dalam kebingitan dan kelantangan suara supaya mampu didengari.

“Barbarik juga mengisahkan perjuangan dalam kehidupan yang kini menjadi pegangan saya,” katanya.

Selain itu Barbarik juga sempena judul salah satu album Wings bersama Mus iaitu Mr Barbarik. Dua lagi album Wings bersama Mus ialah Biru Mata Hitamku dan Mencari Asal Usul.

Joe memulakan karier bersama kumpulan Scandals pada 1986. Lagu ciptaannya iaitu Penantian Yang Tak Pasti untuk kumpulan itu mendapat perhatian peminat.

Dia kemudian menyertai Wings pada 1 April 1988 dan mula membabitkan diri dalam penciptaan lagu serta rakaman studio sehingga hari ini.

Persembahan yang dianjurkannya ketika ini menampilkan kredibiliti Joe yang mampu bergerak sendiri sebagai pemain gitar profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:30 AM