Rudy Imran Shamsudin


MENDENDANGKAN lagu rancak tidaklah asing bagi penyanyi popular, Dayang Nurfaizah Awang Dowty.

Contohnya lagu Dayang Sayang Kamu yang dirakam hampir 16 tahun lalu, masih diminati hingga hari ini.

Namun, tidak dinafikan sebahagian besar koleksi lagu popular Dayang kebanyakannya berentak balada.

Bukan itu saja, boleh dikatakan kebanyakan lagu yang memberikan kejayaan kepada Dayang dan memenangi anugerah adalah berentak balada.

Disebabkan itu, ada segelintir peminat seakan-akan tidak boleh terima apabila penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini memilih merakamkan lagu rancak berjudul Sebentar sebagai single terbaharu.

Bercerita mengenai lagu ciptaan Faizal Tahir itu, Dayang berharap ia memberikan warna dalam kerjaya nyanyiannya memandangkan dia tidak memiliki banyak lagu berentak rancak untuk dipersembahkan.

“Sudah terlalu kerap saya menyanyikan lagu Dayang Sayang Kamu tetapi itulah satu-satunya lagu rancak yang saya ada. Kalau boleh, saya mahukan lagi lagu rancak selepas menghasilkan beberapa lagu balada.

“Kalau selalu sangat lagu balada pun, bosan juga. Dengan adanya lagu rancak ini dapatlah saya mengajak peminat menari bersama-sama dalam persembahan nanti,” katanya.

Dayang berkata, selepas meraih kejayaan di Anugerah Juara Lagu ke-33 bersama Heal Husaini menerusi Haram, dia sudah merancang untuk menghasilkan lagu rancak.

Bekerja dengan Faizal juga sudah lama dirancang tetapi hanya baru-baru ini ada kesempatan, apatah lagi komposer prolifik itu turut menyimpan hajat mahu bekerja dengan Dayang.

“Sebenarnya saya memang sudah lama mahu bekerja dengan Faizal tetapi kerana sibuk, ia tidak dapat direalisasikan.

“Hinggalah tiba waktu saya mahu menghasilkan single terbaharu, saya tanya pada Faizal, adakah dia mempunyai lagu yang sesuai untuk saya tetapi saya tegaskan padanya saya mahukan lagu rancak dan bukan balada.

“Pada mulanya dia tidak ada lagu yang saya hajati. Bagaimanapun, tiga hari selepas itu dia sudah mencipta satu lagu khusus untuk saya. Apabila mendengarnya, ia memang dekat dengan jiwa saya dan menepati apa yang saya mahukan.

“Namun, saya pastikan lagu Sebentar dihasilkan bukan kerana syok sendiri, sebaliknya ia menepati selera peminat juga. Alhamdulillah! Sebaik saja ia dilancarkan awal bulan ini, banyak komen positif yang saya terima.

“Memang ada dalam kalangan peminat yang tidak suka dengan Sebentar kerana mereka tetap mahukan lagu balada daripada saya. Bagaimanapun, sebahagian besar memang menggemarinya dan bersetuju dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

Ditanya kenapa Faizal menjadi pilihannya, Dayang berkata, sejak dahulu lagi dia memang meminati karya Faizal.

“Tambahan pula, kami memang saling mengenali kerana sama-sama pernah menyertai pertandingan One In A Million. Satu perkara yang saya gemar mengenai karya Faizal ialah ia mempunyai identiti sendiri. Sekali dengar saja lagu terhasil, kita sudah tahu ia dihasilkan olehnya,” katanya.

Menurut Dayang, walaupun single terbaharunya itu berentak rancak, tidak bermakna ia mudah untuk dinyanyikan.

“Selain memerlukan penghayatan, penyanyi juga perlu tahu mengalunkan irama mengikut nada. Pergerakan vokal cepat dan lambat juga penting untuk diberi perhatian.

“Bayangkan sejak awal Sebentar mahu dihasilkan ia terpaksa dilakukan secara berperingkat. Sesi mendengar melodi saja mengambil masa panjang dan begitu juga sewaktu merakamkannya, saya melakukannya beberapa kali bagi memastikan ia didendangkan dengan sempurna,” katanya.

KONSERT BAKAL PENUH LAGU POPULAR DAYANG

PADA 21 Julai ini, Dayang Nurfaizah akan meraikan ulang tahun ke-20 pembabitannya dalam industri hiburan dengan mengadakan Konsert Dayang Dua Dekad di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Konsert itu juga mengukir sejarah peribadi buat penyanyi yang digelar ‘Queen D’ ini apabila tiket habis dijual dalam tempoh tidak sampai 24 jam sebaik dibuka.

Dayang berkata, setakat ini latihan dan susunan semula muzik beberapa lagu yang sudah dipilih berjalan seperti dirancang dan dia berpuas hati.

“Saya akan mendendangkan hampir keseluruhan lagu popular saya dari album pertama hingga sekarang. Apa yang boleh saya kongsikan pada malam itu nanti ada lagu lama saya cuba berikan sentuhan baharu,” katanya.

Dayang sedar, bagi peminat yang mengikuti perkembangan kerjayanya sejak awal pembabitan dalam industri muzik, sebaik mungkin mahu dia mengekalkan melodi asal dan tidak melakukan perubahan pada susunan muzik lagu popularnya seperti Hakikat Cinta dan Selagi Masih Ada Cinta.

“Bagaimanapun, saya harus bersikap adil kerana sekarang saya ada golongan peminat baharu yang meminati saya selepas muncul single Di Pintu Syurga. Maka, saya lakukan sedikit perubahan susunan muzik pada lagu popular saya sebelum ini agar ia kedengaran segar dan menarik.

“Namun, saya tidaklah mengubah melodi lagu itu sehingga hilang keasliannya. Saya sama sekali tidak akan melakukan perkara seperti itu dan saya percaya peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan saya dan menonton konsert saya sebelum ini turut menantikan bagaimana susunan muzik akan saya lakukan kepada lagu asal terbabit. Kiranya ia seperti kejutan buat mereka,” katanya.

Dalam pada itu, peminat yang sudah membeli tiket juga bertuah kerana Dayang akan menyanyikan lagu Sebentar buat kali pertama secara langsung.

“Sebenarnya lagu Sebentar saya rancang untuk dilancarkan pada akhir tahun ini, tetapi tidak sangka pula Faizal dapat menyudahkan kerja-kerja rakaman dalam waktu yang sangat cepat. Dan akhirnya ia dapat disiapkan sebelum konsert berlangsung.

“Saya gembira dengan perkembangan ini kerana saya ada lagu rancak lain selain Dayang Sayang Kamu untuk saya persembahkan kepada peminat pada malam konsert itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:06 AM