PEKERJA pusat servis lapis filem cermin kereta memasang lapisan filem.
PEKERJA pusat servis lapis filem cermin kereta memasang lapisan filem.
Amir Abd Hamid


KUALA LUMPUR: Sehingga jam 4 petang semalam, undian di Facebook (FB) rasmi Harian Metro menunjukkan lebih ramai bersetuju dengan peraturan baharu cermin gelap kenderaan yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan.

Dalam undian FB dengan pilihan antara Ya atau Tidak berdasarkan soalan: ‘Adakah anda setuju dengan langkah Kementerian Pengangkutan melonggarkan kadar penggunaan cermin gelap?’ sebanyak 62 peratus menjawab Ya, manakala 38 peratus lagi memilih jawapan Tidak.

Hasil kaji selidik itu membabitkan kira-kira 16,800 responden dengan lebih 10,000 daripada mereka memilih Ya iaitu bersetuju dan selebihnya membuat pilihan Tidak untuk jawapan kepada soalan berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam pengumuman mengenai cermin gelap kenderaan, kelmarin dipetik berkata, tiada had ditetapkan bagi kenderaan persendirian terhadap kadar ketelusan cahaya tampak untuk cermin kiri dan kanan penumpang belakang serta cermin belakang.

Peraturan itu juga menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak bagi bahagian cermin depan kenderaan adalah 70 peratus, manakala bagi cermin sisi kiri dan kanan pemandu adalah 50 peratus.

UNDIAN di FB rasmi Harian Metro
UNDIAN di FB rasmi Harian Metro

Rata-rata komen dilontarkan netizen adalah bercampur antara bersetuju dan tidak bersetuju dengan peraturan itu membabitkan 432 komen serta 24 perkongsian.

Antara yang bersetuju ialah Hafiz Baharudin dengan menyifatkan ia memberikan keselesaan kepada penumpang belakang termasuk dari segi privasi dan kepanasan akibat cuaca luar.

Muhammad Zakaria pula dalam komennya berkata: “Mudah ibu ada anak kecil menyusukan anak di belakang tanpa risau privacy. Orang tua boleh berehat dengan tenang di belakang tanpa silau. Di depan masih lagi nampak pemandu dengan hanya 50 peratus. Terbaiklah peraturan baharu. Memudahkan orang lain.”

Pemilik akaun FB Tamar Jais dalam komennya menyatakan penghargaan: “Terima kasih Kementerian Pengangkutan kerana memahami rayuan kami rakyat biasa. Saya menyokong usaha ini.”

Ada juga yang tidak setuju antaranya Saiful Dahlan menyifatkan peraturan baharu itu menggalakkan jenayah dan maksiat manakala pemilik akaun Rahman Jambu Jagung turut memberikan pandangan sama iaitu banyak jenayah boleh terjadi, malah tugas polis semakin sukar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 6:00 AM